KUALA LUMPUR – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) akan menyumbang insentif sebanyak RM3,000 hingga RM5,000 seorang kepada pasangan pengantin golongan asnaf di Wilayah Persekutuan yang ingin mendirikan rumahtangga.
Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar, insentif secara individu itu dibuat bagi menggalakkan peningkatan jumlah perkahwinan dalam kalangan asnaf di Wilayah Persekutuan.
“Ini adalah insentif JAWI (Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan) dan MAIWP berikan dan kita harapkan golongan belia asnaf yang mahu mendirikan rumahtangga ambil peluang untuk membina rumahtangga masing-masing.
“Insentif ini adalah bersyarat kedua-dua penerima adalah asnaf Wilayah Persekutuan. Program ini melibatkan semua golongan asnaf dan perlu mengemukakan permohonan kerana ini adalah program khusus untuk perkahwinan,” katanya kepada media selepas menghadiri program Majlis Akad Nikah Rahmah 10 pasangan di Masjid Wilayah Persekutuan hari ini.
Program ini jelas Mohd Na’im adalah seiring dengan sambutan 50 tahun JAWI.
Menurutnya, program insentif ini akan bermula tahun ini dan permohonan adalah telah dibuka.
Antara punca pengurangan perkahwinan di negara ini adalah disebabkan oleh kos yang semakin meningkat serta masalah sosial ekoran penceraian ibu bapa masing-masing.
“Kalau mereka-mereka ini sudah ada hasrat untuk mendirikan rumahtangga, ambil peluang ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette