Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing bercakap kepada media selepas Perasmian Hari Kraf Kebangsaan 2024 di Kompleks Kraf Kuala Lumpur. Foto FAREEZ FADZIL, 24 FEBRUARI 2024.

KUALA LUMPUR – Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Datuk Seri Tiong King Sing menafikan dakwaan beliau telah memecat Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Dr Ammar Abd Ghapar berkuatkuasa Isnin ini.

Sebaliknya, King Sing hanya bertindak menurunkan pangkat Dr Ammar daripada ketua pengarah kepada timbalan kerana prestasi kerja yang tidak memuaskan.

Jelas King Sing, penurunan pangkat itu juga hanya dilakukan selepas tempoh lebih setahun selepas pelbagai nasihat berhubung prestasi kerja diberikan termasuklah oleh timbalannya, Khairul Firdaus Akbar Khan.

“Ini bukan isu rasis atau soal pecat memecat. Saya bersama timbalan sudah banyak kali bagi peluang dan juga nasihat kepada Dr Ammar.

“Kita beri nasihat apakah yang perlu dilakukan secara terbaik bagi bantu menaikkan industri pelancongan negara kita. Tapi saya tidak tahu dia (Dr Ammar) tidak ada idea atau hendak buat bagaimana.

“Jika tidak boleh perform, saya tidak ada pilihan tetapi buat pertukaran. Bukan pecat tapi turun pangkat sahaja. Memang dari dulu, bila bekas KP sudah pençen nama Dr Ammar bukan di rank pertama pun,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis perasmian Hari Kraf Kebangsaan 2024 yang dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Jalan Conlay di sini hari ini.

King Sing memberikan reaksi mengenai dakwaan pemecatan Ammar berdasarkan surat tular di media sosial bertarikh 22 Februari yang memaklumkan berhubung perkara berkenaan.

Beliau telah mengambil masa yang panjang untuk berbuat demikian kerana Ammar juga memiliki PhD dalam bidang pelancongan yang padanya mampu membantu industri pelancongan.

“Saya beri peluang sebab dia ada PhD (Ijazah Kedoktoran) dalam pelancongan tetapi bila dia jalankan tugas, dia tidak membuktikan PhD itu. Tidak boleh langsung rancang apa-apa. Tidak ada destinasi baharu, tidak ada perancangan.

“Beliau tidak ikut arahan malah juga tidak mahu melakukan libat urus dengan negeri-negeri, semua orang mengadu. Jadi saya beri peluang kepada yang boleh, yang tidak boleh turunlah,” tegasnya.

Tambah beliau, yang layak bekerja dan mampu memperkasakan MOTAC, semuanya mendapat peluang kenaikan mengikut kelayakan dan tidak bukannya ikut kaum seperti dakwaan tertentu.

“Jangan buat malu MOTAC. Tolonglah. Jangan main simpati. Mana ada surat kata pecat? Kata turun jadi timbalan. Tahun depan beliau bulan tiga beliau akan pencen.

“Demi kebaikan industri pelancongan, saya tidak boleh ambil tindakan tahun depan bulan 3 kemudian rancang semula. Tengok Thailand boleh dapat 10 juta pelancong Cina tapi sini tidak boleh?

“Beliau ikut saya promosi tapi kemudian bila minta follow up dia tidak mahu. Tanya dia, malam-malam pergi mana?” ujarnya. -MalaysiaGazette