KUALA LUMPUR – Cubaan sebuah bot kayu tanpa nombor pendaftaran yang membawa 24 pendatang asing tanpa izin (PATI) untuk masuk ke negara ini menggunakan laluan tikus gagal.
Bot kayu itu telah ditahan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Negeri Selangor di kedudukan 4.1 batu nautika barat Sungai Janggut kira-kira pada pukul 1.30 pagi tadi.
Pengarahnya, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, tangkapan itu dilakukan melalui Sistem pengawasan laut (SWASLA) mengenai satu situasi curiga dari perairan Indonesia menuju ke perairan Pulau Angsa kira-kira pada pukul 11.45 malam.
Bot ronda Maritim Malaysia yang sedang dalam rutin rondaan telah diatur gerak ke lokasi dan berjaya memintas bot tersebut lebih kurang pukul 12.15 tengah malam tadi.
Bot suspek diarahkan berhenti tetapi bertindak cuba melarikan diri namun dengan kecekapan pasukan operasi, bot itu berjaya ditahan di kedudukan 4.1 batu nautika barat Sungai Janggut pada pukul 1.30 pagi.
Hasil pemeriksaan mendapati terdapat 24 orang disyaki warga Indonesia dan Myanmar berada di atas bot ketika penahanan dibuat.
Kesemua yang ditahan ialah 10 lelaki serta empat wanita warga Indonesia dan empat lelaki termasuk seorang kanak-kanak serta enam wanita warga Myanmar berumur daripada lapan hingga 52 tahun.
Hasil pemeriksaan ke atas dokumen, kesemua mereka gagal mempamerkan dokumen perjalanan diri yang sah.
Kesemua yang ditahan dibawa ke jeti Pasukan Polis Marin Pulau Indah sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk siasatan di bawah Akta Imigresen 1959/63 kerana memasuki Malaysia tanpa dokumen yang sah dan Akta Antipemerdagangan Orang Dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007. – MalaysiaGazette