Gambar hiasan

YALA, Thailand – Kira-kira 250 hingga 300 pasangan dari Malaysia hadir membuat pengesahan dokumen pernikahan mereka di pejabat Konsulat Jeneral Malaysia setiap bulan selepas berkahwin di Thailand.

Konsul Jeneral Malaysia di Songkhla Ahmad Fahmi Ahmad Sarkawi berkata, kebanyakan pasangan ini adalah mereka yang berkahwin sama ada di Narathiwat, Pattani, Yala, Satun atau Songkhla.

“Ada juga yang berkahwin di Bangkok tetapi hadir ke pejabat Konsulat Jeneral di sini untuk mendapatkan pengesahan yang hanya boleh dibuat oleh pihak Konsulat Jeneral Malaysia,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian Melayu Day kali ke-9, di sini semalam.

Hadir sama Menteri Keadilan Thailand yang juga bekas Setiausaha Agung Pusat Pentadbiran Sempadan Wilayah Selatan (SBPAC) Thawee Sodsong, Gabenor Yala Ampon Pongsuwan, Konsul Jeneral Indonesia Suargana Pringganu dan Datuk Bandar Yala Pongsak Yingchoncharoen.

Ahmad Fahmi berkata, pengesahan dokumen pernikahan itu penting agar pasangan terbabit tidak terlibat dengan sindiket yang cuba melakukan penipuan.

Katanya, dengan pengesahan yang diperoleh daripada pejabat Konsulat Jeneral Malaysia pasangan terbabit boleh membuat pendaftaran perkahwinan mereka di Malaysia.

“Pendaftaran pernikahan ini penting terutamanya untuk masa depan anak-anak yang kemungkinan menjadi “anak tanpa negara”. Masalah juga biasanya timbul apabila anak-anak sudah meningkat dewasa.

“Apabila anak dewasa dan memerlukan wali untuk bernikah sudah pasti akan menimbulkan masalah apatah lagi sekiranya berlaku kematian yang melibatkan di segi pengurusan harta,” katanya. – BERNAMA