KUALA LUMPUR – Kerjasama Awam-Swasta (PPP) perlu diperluas serta dipertingkatkan dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di Malaysia bagi memastikan graduan memenuhi keperluan industri.
Presiden Yayasan Mahir Malaysia, Datuk P. Sri Ganes berkata, kerjasama itu bukan sahaja dapat menaik taraf institusi sedia ada malah dapat menyediakan peluang yang lebih besar kepada pelajar untuk mengikuti kursus-kursus baharu seperti kenderaan elektrik (EV) dan dron yang mempunyai kebolehpasaran yang tinggi.
“Ini adalah kerjasama menang-menang untuk negara apabila sektor awam dan swasta saling berganding bahu.
“Dengan kerjasama ini, pemain industri utama negara dapat terbabit terus mengurus latihan TVET dan seterusnya menyediakan pelajar yang dilatih memasuki alam pekerjaan dengan pendapatan munasabah.
“Pada masa sama, ia juga akan menyelesaikan permasalahan mengenai latihan tidak sepadan, tidak diperluaskan dan tidak memuaskan membabitkan graduan. Tanpa tenaga mahir yang kompeten, pembangunan sektor ini (TVET) akan tergugat,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Electric Vehicle (EV) dan Kelengkapan, kerjasama awam swasta (PPP) antara Institut Latihan Perindustrian (ILP) Perai dengan
autotronics, di Insitut Latihan Perindustrian di Perai, baru-baru ini.
Majlis yang disempurnakan Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong itu turut dihadiri Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud dan Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Manusia, Shakib Ahmad Shakir.
Pada majlis itu sumbangan kelengkapan autotronic bernilai RM200,000 diserahkan kepada ILP Perai selain pembiayaan latihan kepada sembilan sembilan jurulatih ILP Perai yang layak di mana kosnya dianggarkan RM45,000.
Juga diserahkan sebuah kereta EV (BMW i3), alat diagnostik, pengangkat bateri dan latihan dan pensijilan untuk juru latih ILP Perai dengan kerjasama International Motor Industry, UK (IMI)
Sri Ganes yang juga Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SG Education Group memberitahu, dalam konteks TVET, sektor awam dan swasta di Malaysia tidak boleh bersifat dikotomi (pemisahan).
“Tanpa kerjasama ini, ia bukan sahaja akan memberi bebanan kewangan kepada satu-satu pihak malah akan mewujudkan ketidakseimbangan bebanan kepada fasiliti untuk menyediakan tenaga kerja yang relevan kepada pasaran.
“Maka kerjasama yang efektif antara sektor awam dan swasta akan dapat mengoptimumkan penggunaan sumber merentasi kedua-dua sektor ini,” jelasnya.
Bercakap mengenai majlis tersebut, Sri Ganes berkata, kerjasama pada hari ini bakal memanfaatkan kira-kira 500 pelajar.
Menurutnya, kursus yang disasarkan kepada golongan pekerja dan graduan itu akan diadakan secara jangka pendek dan panjang, bergantung kepada kesesuaian masing-masing.
“Kita menawarkan dua pilihan, iaitu graduan yang masih belum bekerja disarankan untuk mengambil kursus yang ditawarkan tujuh hingga 14 hari (jangka pendek) manakala bagimerekayang bekerja, kita juga menawarkan kursus berkenaan pada hari minggu,” ujarnya di mana mereka yang berminat boleh melayari autotronics.edu.my/kerjayamadani. – MalaysiaGazette