Chiang Chong (tengah) didakwa atas pertuduhan salah guna harta syarikat di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam, Pulau Pinang hari ini.

BUKIT MERTAJAM – Bekas pengarah sebuah syarikat pengimport bahan mentah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini, atas pertuduhan menyalahgunakan harta milik syarikat untuk kegunaan sendiri pada dua tahun lalu.

Tertuduh, Ng Chiang Chong, 61, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Mohd Harith Mohd Mazlan.

Mengikut pertuduhan, bapa kepada empat cahaya mata itu didakwa dengan curangnya menyalahgunakan harta iaitu kereta jenis Mercedes Benz GLC 300 Coupe, nombor pendaftaran PPK 378 milik syarikat Heap Lee Chan Trading Sdn. Bhd.

Tertuduh tidak mengaku salah atas pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Seberang Jaya pada 3 Oktober 2022.

Bagi kesalahan itu, pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara sehingga lima tahun, denda dan sebatan, jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Aini Yahya manakala tertuduh diwakili peguam, Martin Khoo.

Ketika prosiding Nurul Aini menawarkan jaminan RM10,000 terhadap tertuduh namun Martin Khoo merayu agar mahkamah memberikan jaminan minimum atas alasan anak guamnya menghidap sakit jantung selain perlu menjaga empat anak dan isterinya yang kini dalam rawatan kimoterapi.

Tertuduh membayar jaminan.

“Malah untuk makluman Yang Arif, pengadu dalam kes ini merupakan adik kepada tertuduh yang mana kes menuntut harta pusaka milik mendiang bapa mereka kini sedang berjalan di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang.

“Jadi tiada alasan untuk anak guam saya melarikan diri dalam kes ini, selain dia juga tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau,” kata Martin Khoo.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin selain menetapkan syarat tambahan perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Kes akan disebut semula pada 2 April depan.

Sementara itu, Martin Khoo ketika ditemui di luar mahkamah memberitahu berlaku perebutan harta membabitkan empat beradik lelaki termasuk tertuduh sebelum mereka menyingkirkan nama anak guamnya daripada pemilikan harta pusaka. – MalaysiaGazette