KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 21 Mac depan bagi keputusan permohonan Aman Palestin Berhad (Aman Palestin) yang memfailkan semakan kehakiman terhadap tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
SPRM telah membekukan 41 akaun bank miliknya dan entiti syarikat lain membabitkan wang sebanyak RM15 juta ketika ini.
Hakim Mahkamah Tinggi, Amarjeet Singh Serjit Singh menetapkan tarikh tersebut selepas mendengar hujah kedua-dua pihak berkaitan permohonan itu hari ini.
Terdahulu ketika prosiding, Jabatan Peguam Negara (AGC) yang bertindak bagi pihak SPRM melalui hujah bertulisnya mendakwa Mahkamah Sivil tidak mempunyai bidang kuasa untuk membenarkan semakan kehakiman mencabar SPRM berhubung pembekuan akaun milik badan itu.
Kata AGC, semakan kehakiman tidak boleh mengubah kuasa yang berkaitan dengan proses siasatan jenayah.
Aman Palestin telah memfailkan semakan kehakiman di mahkamah tinggi 31 Januari lalu, untuk memohon supaya 11 akaun bank miliknya berjumlah RM11.03 juta dinyahbekukan dengan serta-merta.
Permohonan difailkan itu bertujuan bagi perbelanjaan harian, penggajian pekerja, pentadbiran, operasi dan misi-misi bantuan Aman Palestin bagi tempoh tiga bulan ke hadapan.
Selain itu, Aman Palestin antara lain juga memohon satu deklarasi bahawa pihaknya berhak untuk terus mengumpul dana daripada orang awam serta menyalurkannya secara terus kepada mangsa perang di Gaza yang sedang dizalimi rejim Israel.
Selain SPRM antara tujuh responden yang dinamakan dalam saman itu ialah Ketua SPRM Tan Sri Azam Baki, Pengarah Kanan Penyiasatan Datuk Seri Hishamuddin Hashim, Pengarah Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram Datuk Zamri Zainul Abidin, dan kerajaan. – MalaysiaGazette