KUALA LUMPUR – Beberapa klinik yang menyertai Skim Perubatan Madani di luar 10 kawasan yang telah dihadkan memaklumkan skim berkenaan telah dihentikan melalui media sosial.

Pengumuman-pengumuman tersebut dibuat melalui media sosial dan disertakan dengan notis yang dikeluarkan oleh ProtectHealth Corporation.

Menerusi akaun Facebook Klinik Koo Tenom, ia memberitahu, dukacita dimaklumkan Skim Perubatan Madani di daerah Tenom, Sabah telah diberhentikan berkuatkuasa serta-merta hari ini

“Amat menyedihkan untuk bahagian daerah pedalaman yang masih memerlukan skim perubatan madani ini, namun kami hanya mengikut arahan,” katanya.

Klinik Perubatan dan Pergigian Dr Aqilah turut memberitahu, Skim Perubatan Madani kini tidak boleh digunakan lagi di klinik tersebut.

“Maaf dari pihak kami jika ada kekurangan, terima kasih,” katanya.

Manakala Klinik Ohana turut memaklumkan skim perubatan itu dihentikan di Miri.

Klinik Merlimau melalui akaun Facebook berkata: “Dengan rasa dukacitanya, kami di Klinik Merlimau mengumumkan bahawa Skim Perubatan Madani tidak akan lagi ada di klinik kami mulai hari ini 27/2/2024 berkuat kuasa serta-merta.

“Keputusan ini bukanlah dari pihak pengurusan Klinik Merlimau, tetapi dari pihak pengurusan yang dilantik oleh kerajaan,” katanya.

Tambah klinik itu, pada dasarnya, perubatan madani ini sangat membantu golongan kurang berkemampuan mendapatkan rawatan kesihatan di fasiliti kesihatan swasta.

“Semoga ada sinar harapan lagi untuk mereka yang memerlukan,” ujarnya.

Sementara itu, pemilik akaun Facebook, Muhammad Rashdan Roslan berkata, dalam Belanjawan 2024, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan yang Skim Perubatan Madani akan diperluas ke seluruh negara dengan peruntukan RM100 juta.

“Takde angin, takde ribut, tup tup, semua klinik swasta yang menyediakan perkhidmatan Skim Perubatan Madani dapat emel yang menyatakan SPM diteruskan tetapi di 10 kawasan/daerah sahaja.

“Kenapa perlu pilih-pilih tempat tertentu sahaja yang diteruskan liputan Skim Perubatan Madani ini? Oh, atas dasar mengurangkan kesesakan di fasiliti kesihatan kerajaan.

“Ok, misal kata kita ambil satu tempat yang telah ditamatkan liputan SPM, misalnya Kota Bharu, Kelantan. Adakah dengan penamatan tersebut menandakan masalah kesesakan pesakit di fasiliti kesihatan KKM di seluruh Kota Bharu telah tamat? Adakah objektif SPM iaitu untuk mengurangkan kesesakan dan waktu menunggu pesakit di kemudahan kesihatan kerajaan telah berjaya dicapai?,” soalnya.

Apakah kriteria pemilihan 10 kawasan/daerah berkenaan? Kenapa tidak ada di semua negeri atau setidaknya, di ibu negeri yang berkenaan? Janganlah lupa, di kawasan bandar pun ramai yang layak untuk menggunakan Skim Perubatan Madani,” tulis beliau.

Seorang lagi pemilik Facebook, Amalina Sazlan turut memaklumkan Skim Perubatan Madani seluruh Negeri Kelantan telah pun ditamatkan serta-merta bermula malam ini.

Klinik Nurfa juga mengumumkan: “Bye-bye Skim Perubatan Madani…takdop doh untuk rakyat ganu”.

Poliklinik Azzu Bukit Gambir memaklimkan Skim Perubatan Madani di fasiliti itu telah diberhentikan berkuatkuasa serta-merta kecuali daerah yang disenaraikan.

“Di Johor, Hanya daerah JB saja yang tersenarai. Kesulitan amat dikesali,” ujarnya. – MalaysiaGazette