KUALA SELANGOR – Seorang lelaki maut selepas motosikal yang ditungganginya hilang kawalan sebelum terbabas ke dalam parit di Jalan Permatang Tengah, Kampung Api-Api, di sini, Ahad lalu.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa berkata, Juremi Mohd Sapie, 36, meninggal dunia di tempat kejadian ketika dalam perjalanan ke rumahnya, di sini.
“Siasatan awal mendapati mangsa dalam perjalanan kira-kira jam 1.30 petang dari Ijok ke rumahnya di Jalan Meranti, Kampung Api-Api, di sini.
“Sebaik sahaja mangsa tiba di lokasi, lelaki itu disyaki gagal mengawal motosikalnya lalu terbabas dan terjatuh dalam parit di laluan bertentangan,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Ramli juga berkata, mangsa mengalami kecederaan di kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Tambahnya, mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik, Hospital Tanjong Karang untuk proses bedah siasat.
Dalam pada itu, katanya lagi, polis sedang mengesan saksi bebas di tempat kejadian.
“Motosikal mangsa yang nahas akan dihantar ke Pusat Pemeriksaan Berkomputer (PUSPAKOM) untuk siasatan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya lagi. – MalaysiaGazette