Wednesday, May 1, 2024
Home Utama Tiada tolak ansur ke atas Ahli Parlimen langgar peraturan – Johari

Tiada tolak ansur ke atas Ahli Parlimen langgar peraturan – Johari

Gambar hiasan
KUALA LUMPUR – Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul memberi amaran tidak akan lagi berkompromi terhadap Ahli Parlimen yang tidak mematuhi peraturan mesyuarat.
Beliau menegaskan, tindakan tegas dan tidak akan bertolak ansur akan dikenakan bagi menjaga kesopanan dan kesusilaan yang dilafazkan dalam ikrar Rukun Negara.

“Kita baru saja sebentar tadi berikrar untuk mencapai lima prinsip rukun negara, saya berharap Ahli-ahli Yang Berhormat (YB) dapat mencapai prinsip-prinsip itu.

“YB hendaklah menunjukkan contoh yang baik kepada rakyat sepanjang berada dalam Dewan yang mulia ini kerana kita semua disaksikan oleh rakyat melalui pelbagai platform.
“YB hendaklah sentiasa mempamerkan kematangan semasa berucap atau berbahas termasuk menjaga kesopanan dan kesusilaan seperti yang telah kita ikrarkan tadi,” katanya pada Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen ke-15.
Penegasan itu dibuat Johari selepas lafaz ikrar Rukun Negara yang dilaksanakan buat pertama kali dalam Majlis Persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Semalam, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim mengingatkan semua Ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara supaya menunjukkan teladan yang baik sepanjang persidangan Parlimen.
Sultan Ibrahim menitahkan semua Ahli Parlimen dan Dewan Negara supaya menjaga adab dan tatatertib, selain menggunakan pertuturan yang sopan.
Baginda turut memberi kebenaran kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat dan Yang Dipertua Dewan Negara mengambil tindakan terhadap mana-mana ahli yang melampaui batas, termasuk mengenakan sekatan daripada menyertai persidangan selama 14 hari. – MalaysiaGazette