Tiga penjawat awam antara lima individu yang ditahan bagi membantu siasatan kes rasuah bernilai lebih RM2.3 juta melibatkan perolehan projek-projek kerajaan Perak di Mahkamah Majistret, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF, 27 FEBRUARI 2024.

IPOH – Lima individu termasuk tiga penjawat awam ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan kes rasuah bernilai lebih RM2.3 juta melibatkan perolehan projek-projek kerajaan Perak.

Kesemua suspek berusia berusia 34 hingga 47 tahun itu ditahan semalam, sebelum dibawa ke Mahkamah Majistret di sini hari ini untuk permohonan reman.

Majistret Noor Azreen Liana Mohd. Darus membenarkan permohonan SPRM menahan reman kelima-lima suspek yang terdiri daripada empat lelaki dan seorang wanita selama empat hari bermula hari ini hingga Jumaat.

Terdahulu, kesemua suspek tiba di pekarangan mahkamah sekitar pukul 10.22 pagi dengan berpakaian lokap SPRM dan dibawa keluar pada pukul 11.39 pagi.

Difahamkan, tiga penjawat awam dan dua orang kontraktor itu ditangkap kerana terlibat dalam aktiviti rasuah iaitu memberi dan menerima wang suapan melibatkan perolehan bagi kerja-kerja kontrak bernilai kira-kira RM2.3 juta.

Sementara itu, Pengarah SPRM Perak, Ahmad Sabri Mohamed ketika dihubungi mengesahkan kes berkenaan dan memberitahu siasatan lanjut sedang dijalankan. – MalaysiaGazette