Gambar hiasan

HULU SELANGOR – Seorang warga asing ditahan polis kerana memiliki satu tiub straw berisi serbuk warna putih disyaki dadah jenis heroin dalam satu operasi jam 1.10 petang, semalam.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Ahmad Faizal Tahrim berkata, suspek lelaki itu ditahan sepasukan polis dari Balai Polis Goh Tong Jaya di sini.

“Hasil pemeriksaan yang telah dijalankan telah menjumpai dan merampas satu tiub straw berisi serbuk warna putih disyaki dadah jenis heroin.

“Susulan tangkapan itu, pihak Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Hulu Selangor telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 12(2) ADB 1952,” katanya dalam hantaran terbaru di Facebook rasmi IPD Hulu Selangor, hari ini.

Ahmad Faizal juga menasihatkan orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan dadah, jenayah dan aktiviti mencurigakan untuk tampil kepada pihak polis. – MalaysiaGazette