Ahmad Zahid pada Majlis PraPelancaran Sidang Kemuncak Dunia Wanita Islam 2024 di sini hari ini.

KUALA LUMPUR – Malaysia telah memulakan langkah ke arah mencapai pembangunan inklusif memperakui pemerkasaan wanita memainkan peranan penting memacu kemakmuran negara secara keseluruhan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kerajaan komited memastikan kemakmuran dan kesejahteraan rakyat secara amnya melalui konsep Malaysia MADANI.

Konsep Malaysia MADANI mewakili gandingan unik amalan tradisional Malaysia dan pendekatan inovatif menangani isu dan ketidakpastian yang diasaskan pada prinsip menerima perubahan.

Selain itu, ia juga menggabungkan maklum balas daripada semua segmen masyarakat untuk memacu perubahan substantif bagi Malaysia yang lebih maju dan makmur.

“Di Malaysia, kita telah melakukan kemajuan penting dalam memberikan hak wanita dan kesaksamaan jantina. Kami telah melaksanakan dasar untuk meningkatkan penyertaan wanita dalam tenaga kerja, meningkatkan akses kepada pendidikan dan penjagaan kesihatan selain melindungi wanita daripada keganasan dan diskriminasi.

“Apabila wanita diperkasakan, mereka bukan sahaja mengubah kehidupan sendiri tetapi juga kehidupan orang di sekeliling mereka sekaligus meninggalkan kesan yang memberi manfaat kepada seluruh masyarakat dan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis PraPelancaran Sidang Kemuncak Dunia Wanita Islam 2024 di sini hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, Islam amat menekankan kepentingan pendidikan untuk kedua-dua jantina iaitu lelaki dan wanita.

Untuk itu, katanya, adalah penting bagi semua pihak membuka akses pendidikan yang berkualiti dan pembangunan kemahiran untuk wanita Islam dan memastikan mereka mempunyai akses yang sama rata kepada pendidikan pada usia muda.

“Dengan menangani perkara-perkara ini dan melaksanakan strategi yang komprehensif, saya percaya Malaysia dan negara Islam lain boleh mewujudkan persekitaran di mana wanita Islam mempunyai peluang dan sokongan yang diperlukan bagi memecahkan halangan, menyedari tahap potensi mereka dan menyumbang secara signifikan kepada kemajuan dan pembangunan negara.

“Bersama-sama, kita boleh membantu menaikkan, menyokong, dan memperkasakan wanita bukan sahaja dalam masyarakat kita sendiri tetapi merentasi dunia Islam,” ujarnya. – MalaysiaGazette