KUALA LUMPUR – Dakwaan kononnya Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) hendak dijadikan platform untuk para peserta cenderung kepada kerajaan sahaja sepatutnya tidak timbul.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, ini kerana bukan semua kurikulum PLKN berasaskan kepada silibus kenegaraan semata-mata.

“Kita dalam proses untuk menentukan kurikulum dan PLKN yang akan diperkenalkan semula itu lebih kurang dalam 20 peratus kenegaraan manakala 80 peratus adalah berasaskan kepada latihan ketenteraan.

“Jadi adalah tidak benar dikatakan bahawa ia adalah usaha untuk mempengaruhi atau ada elemen politik.

“Ini kerana kalau kita lihat di sesetengah negara yang ada khidmat negara, tak timbul pun soal itu (pengaruh politik)

“Masalah kita semua perkara di Malaysia ini nak dipolitikkan,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Terdahulu beliau hadir ke Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Jasamu Dikenang 2024 di Hotel Premiera, di sini.

Sementara itu, Khaled berkata, pemilihan peserta PLKN berdasarkan kriteria tertentu dan bukan berasaskan kepada jumlah populasi terbesar di negara ini.

“Kita akan ada asas, tak mungkin kita boleh menampung semua sebab tempat yang terhad dan sebagainya.

“Jadi kita akan menggunakan soal kriteria yang ditentukan. Jadi terlalu awal nak kata sama ada wujud berat sebelah atau tidak.

“Mungkin ramai bumiputera sebelum ini kerana peratus bumiputera itu tinggi dalam negara,” katanya.

Sehubungan itu, katanya Kementerian Pertahanan Malaysia (Mindef) sedang memuktamadkan kurikulum, kaedah pelaksana serta penglibatan beberapa agensi lain yang boleh membantu.

“Kita mengharapkan supaya ianya dapat dimulakan pada tahun depan.

“Itu cadangan kita, tertakluk kepada persetujuan kerajaan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette