Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berucap pada Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 di Putrajaya International Convention Centre (PICC), Putrajaya. Foto WAN NABIL NASIR, 29 FEBRUARI 2024.

PUTRAJAYA –  Tidak perlu apolegetik untuk membicarakan agenda-agenda besar
bumiputera kerana kaum itu tidak pernah meminggirkan atau menindas hak kaum-kaum lain, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Malah kata Timbalan Perdana Menteri berkata, santunnya bumiputera ini apa sentiasa menghormati kontrak sosial yang menjadi asas keharmonian negara.

“Kesilapan dan kelemahan dahulu, adalah suatu pengajaran. Menangisi atau meratapi bukanlah jawapannya.

“Sebaliknya bangkit semula daripada kelemahan dan kesilapan lalu dengan tekad yang baharu, adalah semangat yang sepatutnya diangkat melalui (Kongres Ekonomi Bumiputera) kali ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama ketika merasmikan Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini hari ini.

KEB 2024 yang berlangsung selama tiga hari bermula hari ini di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) bertujuan memperluas agihan ekonomi dan mengembangkan lagi ekonomi Bumiputera selaras dengan Kerangka Ekonomi Madani.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid mengakui sudah pasti sepanjang kongres tiga itu dan siri-siri libat urus yang telah diadakan sebelum ini akan mendengar pelbagai masalah dan kelemahan Bumiputera telah dan akan dibangkitkan.

Tambahnya, beliau mengakui kelemahan baik di peringkat kerajaan mahu pun pelaksanaan namun apa yang lebih penting ialah bagaimana kita mahu bergerak ke depan.

“Seperti yang pernah diungkapkan oleh Almarhum Tun Abdul Razak semasa
merasmikan penutupan Kongres Ekonomi Bumiputera Pertama tahun 1965,
saya petik iaitu kemajuan sesuatu bangsa itu bukanlah dalam tangan kerajaan bahkan
bukanlah dalam tangan Menteri, tetapi ialah dalam tangan, dalam nadi dan
titik peluh tiap-tiap orang rakyat negara ini.

“Oleh itu kalau kita semua ada mempunyai keazaman, semangat dan jiwa ingin kepada kemajuan, semangat dan jiwa berani dan bersedia bekerja, berkorban dan bertenaga, dengan berkat Tuhan kemajuan kemajuan akan tercapai,” ujarnya. – MalaysiaGazette