Kamarulzaman Mat Salleh.

KUALA LUMPUR – Tempoh mengemukakan Pandangan Draf Pelan Tempatan Kuala Lumpur 2024 (PTKL2040) dilanjutkan selama sebulan, bermula 2 Mac sehingga 1 April ini.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Kamarulzaman Mat Salleh berkata, penajutan tempoh tersebut dilakukan setelah mengambil kira kompleksiti draf tersebut.

“Sepanjang tempoh ini, orang awam boleh terus menghadiri sesi pameran Draf PTKL2040 di Menara DBKL 1 serta mengemukakan permohonan sekiranya terdapat keperluan untuk mengadakan sesi taklimat atau penjelasan di sesuatu lokasi yang tertentu,” katanya, menerusi kenyataan, hari ini.

Draf PTKL 2040 yang diluncurkan pada 30 Januari lalu yang dijadual tamat esok akan mencorakkan pembangunan Kuala Lumpur sehingga 2040.

Menurut Kamarulzaman, pelbagai usaha telah dilaksanakan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi memastikan penglibatan semua pihak dalam memahami kandungan Draf PTKL 2040.

Tambah beliau, sebahagian dari usaha-usaha yang telah dilaksanakan adalah ialah sesi pameran berkaitan PTKL 2040 dan pameran bergerak mengikut kawasan Parlimen Kuala Lumpur.

“DBKL turut mengadakan 13 Sesi Taklimat Pemahaman di Tingkat 30 Menara DBKL 1 bermula 6 Februari sehingga 1 Mac 2024 yang telah dihadiri hampir 250 orang terdiri dari wakil persatuan penduduk, ahli akademik, agensi kerajaan persekutuan, badan-badan profesional, badan bukan kerajaan (NGO) serta turut melibatkan Ahli-Ahli Parlimen Kuala Lumpur,” ujarnya.

Beliau berkata, warga kota dialu-alukan mengemukakan pandangan, cadangan dan idea yang agar visi pelan pembangunan Kuala Lumpur iaitu Bandar untuk Semua
ini dapat direalisasikan. – MalaysiaGazette