Tertuduh, Muhammad Nuraiman Rosman, 23, mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

MELAKA – Padah melakukan aksi ‘superman’ ketika menunggang motosikal, seorang pemuda dijatuhi hukuman penjara satu hari dan denda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh, di sini, hari ini.

Majistret Mazana Sinin menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Muhammad Nuraiman Rosman, 23, mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Ketika ini, ibu tertuduh dilihat gagal mengawal emosi apabila menangis teresak-esak di galeri awam sehingga terpaksa diminta keluar daripada mendengar prosiding.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menunggang motosikal dengan keadaan yang boleh membahayakan pengguna jalan raya lain di Lebuh AMJ lampu isyarat Bukit Piatu, daerah Melaka Tengah di sini kira-kira pukul 2.15 pagi 3 September lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Pindaan 2020) yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun dan denda minimum RM5,000 serta tidak lebih RM15,000.

Berdasarkan fakta kes, sepasukan polis menahan tertuduh menerusi Op Samseng Jalanan selepas didapati menunggang motosikal secara melulu dan berbahaya dengan aksi menundukkan kepala separas pemegang sambil memotong kenderaan lain secara ‘zig zag’.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan kerana merupakan anak sulung daripada tujuh beradik dan membantu ibunya yang juga ibu tunggal berniaga kuih selain sudah insaf dan tidak akan mengulangi kesalahan itu lagi.

Pegawai Pendakwa, Inspektor Muhammad Naim Abd Jalil bagaimanapun memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh dan lesen B2 tertuduh dibatalkan.

Selepas mendengar hujahan kedua pihak, Majistret Mazana menetapkan tertuduh dipenjara satu hari dan didenda RM5,000 atau empat bulan penjara jika gagal bayar.

Mahkamah turut mengarahkan lesen memandu tertuduh digantung selama lima tahun bermula dari tarikh sabitan hari ini. – MalaysiaGazette