KUALA LUMPUR – Polis telah mendapatkan sambung reman ke atas seorang wanita yang dipercayai ibu ayam dan dua lagi pelacur wanita warga Indonesia bagi membantu siasatan lanjut kes seorang kanak-kanak dan wanita yang diselamatkan selepas dipaksa melacur di Banting, Kuala Langat pada 22 Februari lalu.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintenden Ahmad Ridhwan Mohd Nor berkata, ketiga-tiga suspek yang berusia 45 hingga 57 tahun itu dibenarkan direman sehingga Selasa depan.
“Sebelum ini, ketiga-tiga wanita ini telah direman tujuh hari sehingga semalam (Khamis) dalam kes ini. Semalam, tempoh reman ke atas mereka tamat sebelum disambung reman selama lima hari lagi sehingga 5 Mac ini untuk membantu siasatan lanjut polis bagi melengkapkan kertas siasatan kes untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Dalam serbuan pasukan polis sekitarĀ 3 petang pada 22 Februari lalu di Banting, seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun dan seorang wanita berusia 25 tahun berjaya diselamatkan oleh pasukan Anti Penyeludupan MIgran dan Pemerdagangan Orang (ATIPSOM).
“Kedua-dua mangsa itu disyaki dieksploitasi sebagai pekerja seks yang mana dipaksa oleh suspek (ibu ayam) untuk melacur diri. Kini kedua-dua mangsa yang diselamatkan itu berada di bawah perlindungan serta pemantauan pihak polis,” katanya lagi.
Serbuan yang dilaksanakan oleh Bahagian D3 Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (Atipsom) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman dengan kerjasama Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat itu juga berjaya menyelamatkan seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun serta bayi lelaki berusia 11 bulan.
Bayi berusia 11 bulan yang diselamatkan itu merupakan anak kepada mangsa wanita berusia 25 tahun yang dijadikan pekerja seks secara paksaan oleh sindiket didalangi warga tempatan itu mensasarkan pelanggan dalam kalangan warga asing.
Kes disiasat di bawah Seksyen 14 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (Atipsom) 2007.-MalaysiaGazette