Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Zahid Hamid bercakap pada media ketika Majlis Perasmian Surau Bergerak (Bas Dua Tingkat) Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) Sempena Sambutan Jubli Emas Jawi di Perkarangan Masjid Putra, Putrajaya. Foto SYADILA AMARI, 01 MAC 2024.

PUTRAJAYA – Pemimpin-pemimpin parti politik diingatkan agar tidak menjadikan agama sebagai bahan tunggangan untuk mencapai hasrat politik masing-masing.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau tidak perlu untuk menasihatkan mana-mana pemimpin parti politik lebih-lebih lagi sekiranya mereka itu memiliki latar belakang agama.

“Kita tahu bahawa soal agama, soal hukum dan soal fatwa harus dijadikan sebagai batu sempadan untuk kita memberikan pandangan dan pendapat.

“Tetapi, jika masalah-masalah hukum sebagaimana yang terdapat dalam al-Quran hadis kias dan ijma ulama, saya tidak perlu menasihatkan mana-mana pemimpin parti yang ada latar belakang agama untuk mengikut landasan itu.

“Tapi jangan gunakan agama sebagai tunggangan untuk mencapai hasrat politik dan saya amat menghargai titah tuanku ini sebagai amaran, bukan untuk seseorang individu itu sahaja tetapi untuk pemimpin-pemimpin parti dan pemimpin mana-mana parti termasuk UMNO supaya tidak melakukan perkara dan kesalahan yang sama,” katanya yang merupakan Presiden UMNO.

Beliau berkata demikian kepada media ketika ditemui selepas merasmikan Surau Bergerak Bas Dua Tingkat di Masjid Putra, di sini hari ini.

Ahmad Zahid ditanya wartawan susulan penzahiran rasa dukacita Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mnegenai kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang ditujukan kepada alim ulama, peguam, hakim, ahli-ahli parlimen dan Dewan Undangan Negeri serta Raja-Raja Melayu.

Kenyataan oleh Abdul Hadi yang bertajuk Ketinggian Islam Wajib Dipertahankan pada 20 Februari lalu di disiarkan di portal berita pas.org.my.

Menurut Setiausaha Sulit Sultan Sharafuddin, Datuk Muhamad Munir Bani, baginda menzahirkan dukacita itu menerusi satu surat yang diutuskan kepada Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Ab Halim Tamuri bertarikh 27 Februari.

Surat lima halaman itu juga menyebut, kenyataan Abdul Hadi bukan sahaja mengelirukan malah, boleh membawa kegelisahan yang akhirnya boleh menjurus kepada perpecahan kepada perpaduan umat Islam khususnya dalam kalangan orang Melayu di negara ini.

Sementara itu, mengulas mengenai majlis berkenaan Ahmad Zahid berkata, kerajaan amat mengalu-alukan usaha wakaf surau bergerak seperti itu yang dilihat sangat baik khususnya bagi kegunaan acara-acara tertentu.

Katanya, bas bergerak seperti itu boleh digunakan dikebanyakan tempat seperti di pasar-pasar malam dan juga di sesuatu program atau peristiwa.

“Saya harap ada lagi syarikat-syarikat swasta, bukan sahaja syarikat pengangkutan, tapi syarikat-syarikat lain yang boleh menyambung usaha untuk mewakafkan bas untuk dijadikan surau bergerak seperti ini,” ujarya.

Surau bergerak yang dirasmikan Ahmad Zahid itu merupakan sumbangan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) untuk memberi kemudahan yang selesa kepada pengguna melaksanakan solat terutama ketika menghadiri program-program berskala besar.

Bas tersebut telah diubah suai untuk dijadikan ruang solat dan boleh juga dijadikan sebagai tempat untuk melakukan promosi, penerangan dan sebagainya. – MalaysiaGazette