Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bergambar selepas hadir Majlis Sambutan Hari Hasil ke-28 Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) di Dewan Bangsawan, Menara Hasil, Cyberjaya. Foto MOHD ADZLAN, 01 MAC 2024.

CYBERJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi arahan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) agar mengambil tindakan tegas kepada individu yang enggan membayar cukai termasuk menggeledah kediaman mereka.

Beliau berkata, tugas mengutip cukai perlu dilaksanakan dengan lebih tegas tanpa mengira kedudukan sesebuah syarikat atau pangkat individu itu.

“Kita tidak boleh memberi gambaran yang atas, paling maha kaya itu terselamat daripada tindakan. Mesti ada kesungguhan dan keberanian daripada anda semua, tidak kira kaitannya dan kedudukannya.

“Saudara bertugas menjalankan tanggungjawab, tidak kira sama ada dia Ahmad atau Ah Seng atau Tan Sri atau Tun, saudara hanya kira dia bayar cukai atau tidak.

“Jika dia tidak bayar, geledah dan ambil tindakan,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Hasil Ke-28 LHDN di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Dr Abu Tariq Jamaluddin. – MalaysiaGazette