DUNGUN – Kegembiraan tiga rakan mandi di Pantai Teluk Lipat di sini berakhir tragedi apabila dua daripada mereka ditemukan lemas dalam kejadian petang tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Dungun yang juga Komander Operasi Shahrizal Shamsudin berkata, dalam kejadian kira-kira 3 petang itu, mangsa Mohammad Atiff Farrdugi Zainudin, 11, dan Muhammad Danish Mikail Abdullah, 9, ditemukan lemas manakala rakan mereka Ahmad Azril Farhan Mat Zain,11, selamat.
“Pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada 3.22 petang tadi dan 22 anggota dari BBP Dungun, BBP Chukai dan BBP Kuala Berang bergegas ke lokasi kejadian bersama tiga jentera.
“Apabila sampai ke lokasi kejadian, kita terima maklumat daripada orang awam bahawa tiga kanak-kanak tersebut mandi di pantai sebelum dua daripada mereka disyaki lemas dan seorang selamat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Shahrizal berkata, Mohammad Atiff Farrdugi ditemukan pada 4.55 petang disusuli penemuan Muhammad Danish Mikail pada 6.24 petang masing-masing pada jarak kira-kira 150 dan 300 meter dari lokasi mereka disyaki lemas.