Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap ketika Majlis Penutupan Kongress Ekonomi Bumiputera (KED) 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC). Foto SYADILA AMARI, 02 MAC 2024.

KUALA LUMPUR – Kerajaan bersetuju untuk mewujudkan Tabung Wakaf MARA Madani dengan sasaran dana berjumlah RM1 bilion dalam tempoh dua tahun bagi memperkasakan agenda bumiputera.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Yang di-Pertuan Agong telah memberi perkenan untuk menjadi penaung kepada tabung wakaf.

Tabung tersebut akan diterajui MARA dan dilaksanakan oleh Yayasan Pelajaran MARA selari dengan hasrat penubuhan agensi tersebut.

Katanya, prestasi Wakaf MARA Madani akan dilaporkan secara berkala kepada Majlis Raja-Raja Melayu.

“Saya sukacita memaklumkan anak-anak kita daripada persatuan alumni MARA dan kepimpinan MARA telah menggesa supaya ada rencana wakaf yang bukan sahaja memerlukan huluran dana kerajaan tetapi mengajak rakyat yang dahulunya dari kelompok paling miskin yang diberi peluang dan berlakunya mobilasi sosial diangkat kedudukan mereka sebagai profesional dan peniaga.

“Maka dengan ini saya umumkan penubuhan Wakaf MARA Madani. Geran peluncuran RM100 juta,” kata Anwar ketika berucap pada Majlis Penutup Kongres Ekonomi Bumiputera 2024.

Sementara itu Anwar turut mengumumkan Skim Perumahan MADANI di tanah rizab Melayu di kawasan bandar dengan sasaran membangunkan 2,500 unit rumah mampu milik dalam kadar segera.

Ia bagi menjamin kesejahteraan Melayu di bandar dengan memanfaatkan tanah rizab Melayu terbiar.

Serentak itu kerajaan akan memastikan pemilikan sejumlah 200 ekar tanah termasuk 50 ekar tanah di Bandar Malaysia kekal dimiliki orang Melayu bagi menjamin ketersediaan perumahan mampu milik untuk Melayu supaya kekal di kawasan pusat bandar.

Anwar berkata, Pelaburan Hartanah Berhad dan Permodalan Nasional Berhad telah diamanahkan untuk menerajui dan memacu pembangunan komersial di tanah-tanah rizab Melayu.

Kerajaan turut bersetuju untuk melanjutkan potongan cukai bagi wakaf berasaskan saham seperti Wakaf ASNB dan Waqaf An-Nur di bawah Johor Corp. – MalaysiaGazette