Keadaan rumah setinggan yang terbakar dalam kejadian berhadapan Scott Garden di Jalan Klang Lama, pagi tadi. - Gambar: Ihsan JBPM

KUALA LUMPUR – Dua warga emas rentung dalam kebakaran membabitkan 16 buah rumah setinggan dalam kejadian berhadapa Scott Garden di Jalan Klang Lama hari ini.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat memaklumkan, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian tragis itu daripada orang awam pukul 4.57 pagi.

Sejurus menamatkan panggilan itu, sepasukan 46 anggota dari Balai Bomba Penyelamat (BBP)Seputeh, BBP Hang Tuah, BBP Sentul, BBP Sri Petaling, BBP Pantai, BBP Sri Hartamas, BBP Taman Tun dan BBP Keramat digegaskan ke lokasi kejadian.

“Setibanya pasukan bomba di lokasi kejadian, kebakaran melibatkan 16 unit rumah setinggan. Keadaan rumah yang terlalu rapat diantara satu sama lain mengakibatkan operasi pemadaman agak sukar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya lagi, kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya kira-kira pukul 6.05 pagi.

Tambah jurucakap itu, sekurang-kurangnya 12 buah rumah hangus dalam kejadian itu manakala empat buah lagi terbakar sebahagian.

Punca kebakaran masih dalam siasatan. – MalaysiaGazette