Aznan menyampaikan sumbangan keperluan sekolah kepada penerima di majlis Pelancaran Bantuan Kasih Murid Peringkat Negeri Johor 2024 di Kompleks Pusat Bandar Pasir Gudang hari ini.

PASIR GUDANG – Seramai 1,370 guru baharu akan ditempatkan di sekolah seluruh Johor dan mereka akan memulakan sesi persekolahan 10 Mac ini.

Exco Pendidikan dan Penerangan negeri, Aznan Tamin berkata, ia melibatkan 592 guru di sekolah rendah manakala 778 di sekolah menengah.

“Mereka ini (guru-guru) telah pun mendaftar pada 28 Disember lalu.

“Penempatan guru baharu ini mengisi keperluan yang diperlukan di sesebuah sekolah menengah dan sekolah rendah di kawasan bandar dan luar bandar,” katanya  selepas Pelancaran Bantuan Kasih Murid Peringkat Negeri Johor 2024 di Kompleks Pusat Bandar Pasir Gudang hari ini.

Sebelum ini, dilaporkan seramai 18,792 orang guru baharu telah dilantik sepanjang tahun lalu.

Kementerian Pendidikan (KPM) dalam kenyataan memaklumkan daripada jumlah itu, seramai 9,155 orang guru ditempatkan di sekolah rendah manakala 9,637 ditempatkan di sekolah menengah.

Sementara itu, sebanyak 1,193 buah sekolah menengah dan sekolah rendah yang ada di Johor.

Jelasnya,penambahan tenaga pelajar diyakini tidak akan menimbulkan isu kekurangan guru di Johor.- MalaysiaGazette