Syed Saddiq Syed Abdul Rahman

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mendakwa kerajaan tidak jujur dalam memberi penjelasan berhubung perluasan skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

Dakwanya, informasi berkenaan kenaikan kadar cukai dan perluasan skop yang melibatkan logistik, pembaikan dan penyelenggaran tidak diumumkan dan diterangkan secara terperinci.

Malah katanya, penambahan dua sektor iaitu pembaikan dan penyelenggaran dibuat di saat-saat akhir tanpa perbincangan di Dewan Rakyat sebelum perluasannya dikuatkuasakan, Jumaat yang lalu.

“Yang lebih mengejutkan, baru minggu lepas, tiga hari sebelum cukai ini dikuatkuasakan, kerajaan menggunakan pintu belakang menyertakan sekali sektor baharu ke dalam skop percukaian SST iaitu penyelenggaran dan pembaikan.

“Ia dimasukkan pada minit terakhir, tidak dibentangkan di Parlimen, tidak ada sesi konsultasi. Digazetkan pada 23 Febuari dan dilaksanakan pada 26 Febuari sampai dikecam pakar-pakar kerana tidak ada sesi konsultasi dibuat secara terburu-buru dan diam-diam tanpa ada ketelusan langsung.

“Rakyat ingin tanya dengan kemasukan sektor ini ia sangat umum, adakah melibatkan membaiki komputer riba, telefon bimbit, kereta dan banyak lagi yang lain dan yang jelas itu akan meningkatkan kos sara hidup rakyat. Sebab itu perkara sebegini jangan buat pada masa terakhir, bentang, bincangkan adakan sesi konsultasi jangan guna pintu belakang kerana kamu terdesak akhirnya sanggup menipu dan membohong tidak gunakan Parlimen sebagai tempat terbaik.

“Saya terkejut lihat poster kementerian komunikasi bahawa sektor logistik dikecualikan. Tapi dalam pekeliling, dalam laman web rasmi Kementerian Kewangan mengatakan sektor logistik dimasukkan daripada kosong kepada enam peratus, dengan itu jangan tipu,” katanya ketika menyampaikan perbahasan Menjunjung Kasih Titah Yang di-Pertuan Agong dan Perbahasan di Dewan Rakyat.

Tambahnya, langkah meluaskan skop SST termasuk kenaikan kadar pada sektor tertentu dilihat memberi kesan besar terhadap kos sara hidup rakyat yang bakal meningkat secara langsung.

Kata Syed Saddiq, dalam keadaan kejatuhan nilai ringgit merudum akan memburukkan lagi keadaan rakyat.

“Betul ini adalah cukai atas cukai, kita lihat di mana daripada semua peringkat yang menyebabkan harga barang asas meningkat. Pada tahun 2024, di pihak kerajaan mereka panggil ini adalah tahun Kerajaan Madani. Apa akan jadi pada tahun 2024 ini? Low Value Good Tax akan naik. High Value Good Tax akan naik. SST akan naik. Harga diesel akan naik, harga petrol akan naik. Bil elektrik dan air akan naik.

“Ringgit terus merudum dan lemah. Keperluan, barangan asas, kita terus bergantung kepada negara luar. Bil import menaik dengan mendadak. Sebab itu, mungkin kerajan kata tidak mengapa, tahun 2024, kerajaan kata Madani tapi rakyat kata sebaliknya.

“Rakyat di luar sana tak panggil tahun 2024 sebagai Tahun Madani, mereka panggil Tahun 2024 sebagai Tahun Mahal Dah Ni,” tambahnya.

SST dinaikkan kepada lapan peratus berbanding enam peratus berkuat kuasa Jumaat lalu.

Bagaimanapun, kadar baharu ini tidak merangkumi perkhidmatan untuk makanan dan minuman, telekomunikasi dan tempat letak kereta.- MalaysiaGazette