Fadhlina Sidek.

NILAI – Kementerian Pendidikan (KPM) memiliki garis panduan berkaitan penggunaan media sosial dalam kalangan guru dan sentiasa memantau keadaan itu bagi memastikan ia tidak disalah guna bagi tujuan tertentu.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata justeru itu, golongan guru tidak boleh sewenang-wenangnya menyalahgunakan platform tersebut dan tindakan tegas akan diambil jika terbukti mereka melanggar garis panduan berkenaan.

“Kita memang sudah ada garis panduan itu termasuk kandungan yang dihasilkan mestilah memberikan pedoman dan untuk tujuan yang baik, kita pantau perkara tersebut dari semasa ke semasa dan ia memang dalam radar pemantauan.

“Kita minta guru juga sama-sama memastikan garis panduan itu dipatuhi kerana ia telahpun dilaksanakan… mereka tidak boleh sewenang-wenangnya (guna media sosial) kerana ada garis panduan dan mereka tahu akan perkara itu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Konvokesyen Kolej Vokasional KPM kali ke-8 di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas saranan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) yang meminta KPM menguatkuasakan undang-undang bagi mengekang tindakan guru memuat naik bahan berkaitan isu dalaman sekolah di media sosial bagi mengelakkan impak negatif terhadap institusi pendidikan negara.

Fadhlina juga berkata kadar kebolehpasaran graduan kolej vokasional (KV) setiap tahun mencatatkan 98 peratus sekali gus membuktikan kemahiran mereka sangat diperlukan dalam industri malah lebih 70 peratus mendapat kerja sebelum konvokesyen.

Beliau berkata KPM juga sentiasa memberi tumpuan kepada aspek baharu dalam sektor tertentu untuk dipenuhi termasuk industri automotif, kenderaan elektrik, teknologi hidrogen dan kecerdasan buatan selaras hala tuju negara memperkasakan bidang tersebut.

Fadhlina berkata pihaknya juga mengambil tindakan proaktif dengan mengadakan hubungan rapat serta menjalin kerjasama strategik dengan agensi swasta dan industri bagi memastikan graduan KV mendapat pengetahuan serta pengalaman terus daripada industri.

“Penglibatan aktif murid KV dalam pertandingan kemahiran pada peringkat nasional dan antarabangsa juga menjadi kebanggaan KPM… pencapaian inovasi pelajar KV sangat mengagumkan dan saya percaya graduan KV bakal memimpin industri dan negara,” katanya.

Seramai 6,616 graduan KV seluruh negara diraikan dalam majlis konvokesyen yang berlangsung selama lima hari bermula 29 Feb lepas. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast