Tiga lelaki warga Bangladesh maut dilanggar keretapi selepas dipercayai menceroboh masuk landasan dalam kejadian di Kajang Jade Hill malam tadi.Gambar Ihsan Bomba Selangor

KUALA LUMPUR – Tiga warga Bangladesh maut dilanggar tren komuter di Kajang malam tadi.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, pihak bilik gerakan operasi negeri menerima panggilan mengenai kejadian itu pada jam lebih kurang 10.52 malam tadi.

Bertindak atas maklumat itu, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kajang telah bergegas ke lokasi kejadian tersebut di Stesen KTM Komuter Taman Puncak Utama Jade Hill, Kajang.

“Siasatan di lokasi mendapati kemalangan melibatkan sebuah komuter telah didapati melanggar tiga orang mangsa lelaki yang dipercayai menceroboh masuk melalui landasan keretapi itu.

“Pemeriksaan lanjut anggota mendapati kesemua mangsa merupakan lelaki warga asing,” katanya dalam kenyataan pagi tadi.

Tambah beliau, mayat ketiga-tiga mangsa berada dalam keadaan sempurna di loksi kemalangan.

“Ketiga-tiga mangsa tidak tersepit pada tren komuter tetapi disyaki dilanggar sebelum tercampak di sisi tren tersebut.

“Kesemua manga berusia lingkungan 30-40an itu telah disahkan meninggal dunia oleh pihak pegawai perubatan bergegas ke lokasi kejadian itu,” katanya.

Mayat mangsa telah diserahkan kepada pihak polis.

Dalam pada itu, Polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang telah mengesahkan mengenai kejadian tersebut dan dijangka mengeluarkan kenyataan media butiran lanjut mengenai insiden itu hari ini- MalaysiaGazette