KUALA LUMPUR – Buat pertama kali, Malaysian Palm Oil Green Conservation Foundation (MPOGCF) bekerjasama dengan Fakulti Sains Universiti Malaya (UM) dalam menganjurkan Forum Biodiversiti esok.

Program tersebut dianjurkan bersempena Sambutan Ulang Tahun Ke-65 (Jubli Nilam) Fakulti Sains UM.

Forum yang bertema Green Conservation for a Sustainable Future itu akan berlangsung di Dewan Kuliah 3, Fakulti Sains UM, bermula pukul 9 pagi hingga 5 petang.

Pengurus Besar MPOGCF, Hairulazim Mahmud berkata, matlamat program berkenaan adalah untuk berkongsi maklumat dan perkembangan terkini mengenai aktiviti-aktiviti pemuliharaan yang dijalankan di ladang-ladang sawit kepada ahli-ahli akademik dan para pelajar universiti.

“Forum Biodiversiti turut memberi tumpuan terhadap isu-isu berkaitan kemampanan dalam industri minyak sawit di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.

Program akan dimulakan dengan ucaptama oleh Dekan Fakulti Sains UM, Prof Dr Zulqarnain Mohamed dan sesi pertama bertajuk Conservation Initiative in Malaysia menampilkan tiga ahli panel
iaitu Pengarah Bahagian Konservasi Ex-Situ, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar & Taman Negara (PERHILITAN) Semenanjung Malaysia, Dr Pazil Abdul Patah; Pengarah Bahagian Silvikultur & Pemeliharaan Biologi Hutan, Jabatan Perhutanan Semenanjung
Malaysia,  Mohd Ridzuwan Endot dan Ketua Penolong Setiausaha Bahagian Kemajuan Industri Sawit & Sago, Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK), Adrian Gires.

Sesi kedua bertajuk Government Role in Palm Oil Sustainability and Conservation Effort menampilkan tiga ahli panel iaitu Ketua Unit Ekosistem Gambut & Biodiversiti Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Dr Vijaya Subramaniam; Pengurus Kemampanan, Promosi dan Komunikasi (SPC) Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC), Anthony K Veerayan dan Eksekutif Pemuliharaan MPOGCF, Tengku Abdul Hadi Tengku Md Fauzi.

Sesi ketiga bertajuk Sustainable Palm Oil Practice at the Oil Palm Plantation menampilkan tiga ahli panel iaitu Penolong Pengurus Pemuliharaan dan Biodiversiti, Sime Darby Plantation Berhad, Arnina Hussin; Pengurus Besar Kanan Jabatan Teknikal Kelestarian FGV Holdings Berhad,  Ilangovan Kanthan dan Pengarah Pentadbiran dan Perhubungan Kerajaan, Persatuan Minyak Sawit Malaysia (MPOA), Ramzuz Mohd Rashid.

Sesi soal jawab (townhall) dan ceramah kerjaya akan diadakan selepas sesi ketiga.

Pada program yang sama, satu memorandum persefahaman (MoU) akan dimeterai antara MPOGCF dan UM.

Forum diadakan secara hibrid iaitu secara fizikal yang terhad kepada 200 peserta serta secara dalam talian melalui aplikasi Zoom dan pendaftaran adalah percuma.

Agensi-agensi dan syarikat yang terlibat turut mengadakan pameran sepanjang program Hari Biodiversiti 2024 berlangsung.- MalaysiaGazette