MHO bersama mangsa pelaburan membuat laporan tambahan kepada JSJK berhubung penipuan skim ini di Kuala Lumpur hari ini.

KUALA LUMPUR – Tindakan pantas Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) mendapat pujian Pertubuhan Kemanusiaan Malaysia (MHO) selepas menyerbu premis sebuah syarikat pelaburan di Rawang yang kononnya berasaskan Islamik semalam.

Menurut Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim, pihaknya sebelum ini sudah membawa isu tersebut dengan kehadiran lebih 500 mangsa penipuan membuat aduan dan laporan kepada Pusat Jenayah Kewangan Kebangsaan (NFCC).

Ini selepas mendakwa tiada tindakan diambil pihak berkuasa ke atas tiga syarikat pelaburan.

Semalam, SC telah merampas dokumen untuk siasatan sekiranya wujud pelanggaran termasuk mempromosi dan memasarkan Saham Keutamaan Boleh Tebus Islam RAB (RPS-i) tanpa lesen serta menawarkan RPS-i kepada pelabur runcit tanpa prospektus.

Difahamkan siasatan akan dilakukan mengikut Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007.

Kata Hishamuddin, isu itu bukanlah sesuatu yang baharu malah ada syarikat yang menggunakan nama-nama individu terkenal untuk terus kebal dan beroperasi walaupun menipu mangsa jutaan ringgit.

“Alhamdulilah bila kita tengok pihak berwajib teliti isu yang dibawakan oleh MHO dan terus bertindak apabila siasatan sememangnya menjurus kepada penipuan dan pelanggaran undang-undang. Serbuan semalam di Rawang oleh SC sesuatu yang amat melegakan rata-rata mangsa.

“Ramai sudah menjadi mangsa dan ke hulu ke hilir memohon bantuan pihak berwajib sedangkan dalangnya terus kebal dan licik. Tapi kini tidak lagi kerana apabila diteliti kes-kes ini bukanlah rekaan sememangnya mangsa yang benar-benar ditipu terutamanya golongan warga emas dan pertengahan.

“Kita ucapkan terima kasih dan penghargaan tidak terhingga, harapnya akan ada tindakan-tindakan seperti ini supaya sindiket penipuan ini akan menghentikan operasi mereka daripada ramai terus menjadi mangsa,” katanya dalam satu kenyatan.

Sebelum ini juga, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman dalam kenyataan pada 20 Disember lalu mengesahkan menerima 547 laporan berhubung kes penipuan pelaburan oleh tiga syarikat pelaburan.

Pengarah JSJK Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf dilaporkan berkata, semua laporan itu merujuk kepada tiga syarikat pelaburan dengan 62 kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Dakwa tipu pelaburan, syarikat ambil tindakan undang-undang ke atas MHO

2 Komen

  1. Berita pengecut tidak telus tidak tulus, tidak menyebutkan nama syarikat pelaburan tersebut yang disembunyikan oleh berita ini.

  2. Senang cerita masukkan duit dalam TH, 100K, 250K, 500K, banyak perkara selesai, zakat pun mereka bayarkan, dapat dividen bersih, tak perlu pening2 nak kira zakat.

    Mereka yang tak bayar zakat punyai tempat khas disana nanti… eiiii seram!

Comments are closed.