Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim

KUALA LUMPUR – Tukang gunting rambut yang ditahan polis kerana disyaki memukul dan menyebabkan kematian ibunya tidak akan didakwa di mahkamah.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, ia kerana punca utama kematian ibunya bukan akibat dipukul suspek.

“Untuk kes anak pukul emak, suspek akam tamat reman esok (6 Mac). Namun, kita menerima arahan daripada Timbalan Pendakwaraya untuk tiada pertuduhan dikenakan ke atas suspek memandangkan punca kematian emaknya adalah akibat serangan jantung dan tiada kesan kecederaan lain dtemui” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sebaliknya Mohd Iqbal berkata, polis akan menangkap suspek sekali lagi namun bagi siasatan kes narkotik.

“Esok untuk kes jenayah (Seksyen 302 KK) suspek akan dibebaskan daripada reman dan tiada apa apa pertuduhan tetapi kita akan tangkap dia atas kesalahan urin positif dadah di bawah Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Pasukan narkotik akan rujuk kertas siasatan kepada Timbalan Pendakwa Raya dengan cadangan tuduhan di mahkamah (narkotik).

“Kita kemudian akan menunggu dan lihat keputusan lanjut TPR esok (Rabu),” katanya lagi.

Terdahulu, dalam kejadian pada 28 Februari lalu, seorang wanita dilaporkan maut selepas disyaki dipukul oleh anak lelakinya di bawah pengaruh dadah menggunakan kasut keselamatan serta batang besi di Kampung Jawa.

Mohd Iqbal  berkata, suspek seorang tukang gunting rambut telah memukul emaknya kerana perselisihan faham yang berlaku.

Hasil siasatan mendapati suspek disahkan positif dadah jenis Methaphetamine menerusi hasil ujian saringan air kencing dan direman selama seminggu sejak 29 Februari lalu bagi membantu siasatan kes di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.-MalaysiaGazette