Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Seorang bayi tiga bulan ditemui meninggal dunia pada hari pertama dihantar ke pusat asuhan kanak-kanak yang terletak di Setia Alam, Shah Alam kelmarin.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, bapa mangsa membuat laporan polis pada jam 2.31 petang, 4 Mac lalu.

Menurut bapa mangsa, anaknya telah dihantar kali pertama ke pusat asuhan tersebut pada jam 8.30 pagi hari pada kejadian.

Dua jam selepas itu, bapa mangsa dimaklumkan oleh pengurus pusat asuhan bahawa anak lelakinya tidak sedarkan diri.

“Simati telah dibawa oleh bapanya ke Jabatan Kecemasan Hospital Shah Alam dalam keadaan tidak sedarkan diri tetapi disahkan meninggal dunia setelah usaha menyelamatkan simati dijalankan oleh pegawai perubatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Iqbal berkata, proses bedah siasat telah dijalankan semalam jam 12.30 tengah hari di Unit Forensik Hospital Shah Alam.

Polis masih menunggu hasil laporan siasatan makmal untuk mengenal pasti punca kematian bayi tersebut.

Katanya, pemeriksaan ke atas simati  didapati tiada sebarang kecederaan luaran mahupun dalaman dikesan.

Kes berkenaan sedang disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak dan jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya.

Mohd Iqbal berkata, polis sudah merakam keterangan daripada pengasuh dan pekerja  pusat asuhan kanak-kanak itu.

Manakala keterangan ibu dan bapa mangsa akan diambil selepas urusan perkebumian bayi itu di Kelantan,” katanya.-MalaysiaGazette