PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan, di sini, yang melepas dan membebaskan bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad daripada sembilan pertuduhan menerima rasuah sebanyak RM3.09 juta untuk pembelian hotel selepas mendapati pendakwaan mengemukakan dua neratif berbeza.
Tiga panel hakim bersidang yang dipengerusikan oleh Datuk Vazeer Alam Mydin Meera ketika membacakan keputusan berkata, hakim bicara ketika itu telah gagal mempertimbangkan perkara itu.
Katanya, dalam pertuduhan dan kenyataan pembukaan oleh pendakwaan telah menyatakan habuan itu adalah ganjaran kerana membantu meluluskan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites (MPHS) di Kuching, Sarawak.
Namun pasukan pendakwaan ketika perbicaraan berlangsung mendakwa melalui saksinya bahawa Mohd Isa tidak campur tangan dalam pemberian kontrak itu.
“Tidak ada bukti yang menunjukkan Mohd Isa mengarahkan saksi pendakwaan ke-21, Datuk Muhammad Zahid Md Arip untuk membuat sebarang tuntutan kewangan daripada saksi pendakwaan ke-16 Ikhwan Zaidel (bekas Pengarah Urusan Gegasan Abadi Properties Sdn Bhd) sebagai suapan.
“Ini bagi memastikan Felda Investment Corp Sdn Bhd (FICSB) meluluskan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites (MPHS) di Kuching.
“Bagaimanapun, keputusan untuk membeli MPHS pada harga RM160 juta telah dibuat dalam mesyuarat lembaga pengarah FICSB ke-10 pada 29 April 2014 namun Zahid mendakwa permintaan untuk suapan daripada perayu yang hadir selepas keputusan dibuat.
“Andai itu situasinya maka tidak boleh dikatakan bahawa suapan itu adalah untuk bantuan yang diberikan untuk mendapatkan kelulusan FICSB kerana peristiwa itu telah berlaku malah bantuan perayu tidak akan diperlukan lagi,” katanya.
Panel hakim yang turut terdiri Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan Datuk S M Komathy Suppiah yang mendapati terdapat merit dalam rayuan Mohd Isa berkata, campur tangan rayuan adalah wajar.
“Oleh itu, rayuan terhadap sabitan dan hukuman berhubung semua tuduhan dibenarkan dan perintah Mahkamah Tinggi dibatalkan. Mohon perayu dilepaskan dan dibebaskan,” katanya.
Pada 14 Disember 2018, bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dan pada 8 Oktober 2019 kes itu dipindahkan dan dibicarakan di Mahkamah Tinggi.
Beliau disabitkan salah oleh Mahkamah Tinggi selepas didapati bersalah atas sembilan pertuduhan rasuah RM3 juta berkaitan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites di Kuching, Sarawak oleh Felda.
Ketika kesalahan itu dilakukan pada Julai 2014 hingga Disember 2015, Mohd Isa adalah Pengerusi Felda.
Hakim Mahkamah Tinggi ketika itu, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali menjatuhkan hukuman penjara enam tahun bagi setiap pertuduhan, menjadikan jumlah keseluruhan hukuman penjara 54 tahun serta denda RM15.45 juta.
Mahkamah juga menetapkan penjara 18 tahun lagi sekiranya Mohd Isa gagal membayar denda tersebut.
Mohd Isa hanya perlu menjalani hukuman penjara enam tahun apabila mahkamah memerintahkan supaya semua hukuman penjara itu berjalan serentak. -MalaysiaGazette