Pegawai Penguatkuasa Kementerian Kesihatan (KKM) daerah Sepang mengeluarkan notis kepada perokok yang masih degil dan ingkar dengan merokok di premis makanan pada Ops Tempat Makan di sekitar Cyberjaya. Foto WAN NABIL NASIR, 06 MAC 2024.

CYBERJAYA – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengeluarkan 214 notis bernilai RM54,040 dalam Operasi Penguatkuasaan Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 atau Ops Tempat Makan pada 5 dan 6 Mac lalu.

Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Datuk Dr Norhayati Rusli berkata, notis yang dikeluarkan itu atas pelbagai kesalahan mengikut Seksyen 32B, Akta Makanan 1983.

“Operasi dua hari itu menyasarkan tempat larangan seperti tempat makan, kompleks membeli belah, hentian pengangkutan awam, lapangan terbang dan stesen minyak.

“Ia melibatkan 72 Pegawai Diberi Kuasa (PDK) dari Jabatan Kesihatan Selangor, Pejabat Kesihatan Daerah Sepang, Sektor Kawalan Tembakau, Bahagian Kawalan Penyakit dan Sektor Inspektorat dan Perundangan, Bahagian Perkembangan Kesihatan Awam, KKM.

“Fokus utama adalah kepada premis makan yang mana aduan paling banyak diterima,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Terdahulu beliau mengetuai Ops Tempat Makan di beberapa premis makanan sekitar kawasan perniagaan Neo Cyber, di sini sejak jam 8.30 malam tadi.

Beliau berkata, dari jumlah itu, sebanyak 110 notis di tempat makan dikeluarkan atas kesalahan di bawah Peraturan 11 (1)(d) dan diikuti 48 notis pula di dalam mana-mana kawasan kompleks membeli belah mengikut Peraturan 11(1)(n).

Pegawai Penguatkuasa Kementerian Kesihatan (KKM) daerah Sepang mengeluarkan notis kepada perokok yang masih degil dan ingkar dengan merokok di premis makanan pada Ops Tempat Makan di sekitar Cyberjaya. Foto WAN NABIL NASIR, 06 MAC 2024.

“Sebanyak 20 notis di dalam kawasan lapangan terbang (Peraturan 11(1)(g)).

“Selain itu, 29 notis kesalahan kerana gagal mempamerkan tanda larangan merokok di premis mengikut Peraturan 12(1)(a).

“Lima notis lagi kerana kesalahan gagal memastikan tiada orang merokok di premis masing-masing mengikut Peraturan 12(1)(b),” katanya.

Katanya lagi, bagi kesalahan di bawah Peraturan 13(1) iaitu kesalahan merokok oleh orang belum dewasa, sebanyak satu notis telah dikeluarkan.

“Bagi kesalahan di bawah Peraturan 14(1), sebanyak satu notis dikeluarkan kerana kesalahan tidak mempamerkan tanda larangan menjual hasil tembakau kepada orang belum dewasa,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast