Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – Kerajaan meluluskan peruntukan sebanyak RM50 juta bagi kerja meluaskan lorong khas bas termasuk pembelian 100 unit van Demand Response Transit (DRT) di Lembah Klang, bermula September 2024.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Mengenai Keselamatan dan Kesesakan Jalan Raya (JMKJR), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, langkah tersebut diambil demi menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas dan keselamatan jalan raya khususnya di kawasan-kawasan hotspot kesesakan di ibu negara.

“Terdapat beberapa laporan yang menunjukkan lokasi-lokasi di ibu negara yang sering mengalami kesesakan trafik kritikal dan mencapai kadar kelewatan yang sangat tinggi seperti di Jalan Bukit Bintang, Jalan Kuching dan Jalan Sungai Besi,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Katanya keputusan itu dibuat semasa mesyuarat JMKJR yang berlangsung hari ini.

Menurut beliau, jawatankuasa tersebut turut bersetuju mengekalkan laluan khas bas Jalan Ampang dan Jalan Genting Klang berikutan respon yang positif yang berjaya menjimatkan masa sehingga 18 minit.

Katanya, kerja meluaskan laluan bas khas ke Jalan Klang Lama akan bermula Jun tahun ini.

“Serta melaksanakan kajian bagi pelaksanaan lorong bas di Jalan Cheras (Taman Connaught – Jalan Pudu) serta Lebuhraya Persekutuan (Pusat Bandar Kuala Lumpur – Persimpangan Shah Alam),” tambahnya.

Ahmad Zahid berkata, sistem penyuaraian baharu secara berperingkat bagi lokasi-lokasi kritikal sesak akan dilaksanakan selepas mendapatkan makluman daripada pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM) Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Jabatan Kerja Raya (JKR).

“Ketiga, Kerajaan telah melaksanakan laluan kontra bagi membantu kesesakan lalu lintas khususnya di waktu puncak dan hasil kajian daripada Malaysian Institute of Road Safety Research (MIROS) menunjukkan 88 peratus pengguna lebuhraya yang ditemui bersetuju bahawa laluan kontra berkesan dalam mengurangkan kesesakan lalu lintas,” ujarnya.

Sementara itu Ahmad Zahid berkata, pembinaan laluan pejalan kaki berbumbung sepanjang 7.4km dan penambahan 175 kemudahan hentian bas akan dilaksanakan oleh Kementerian Perumahan Kerajaan Tempatan (KPKT) di kawasan Lembah Klang sepanjang tahun ini.

Sebagai rekod Timbalan Perdana Menteri memaklumkan bagi tahun lalu seramai 6,443 orang maut secara purata dengan 18 kematian sehari akibat kemalangan jalan raya.

Daripada jumlah tersebut 4,480 kematian adalah pengguna motosikal dengan purata 12 kematian sehari dan satu kematian setiap dua jam. – MalaysiaGazette