Seorang bekas inspektor polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian, Sazali Shahrian, 61, dijatuhkan hukuman denda di Mahkamah Sesyen Ipoh, selepas mengaku bersalah atas 10 pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM5,000 daripada seorang pengarah syarikat pada lapan tahun lalu. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 07 MAC 2024.

IPOH – Seorang pesara inspektor polis sebak selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh di sini hari ini atas 10 pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM5,000 daripada seorang pengarah syarikat pada lapan tahun lalu.

Hakim, Datuk Ibrahim Osman menjatuhkan hukuman denda RM5,000 atas kesemua pertuduhan kepada tertuduh, Sazali Shahrian, 61, dan diperintah hukuman penjara 10 bulan jika gagal membayar denda berkenaan.

Mengikut pertuduhan, Sazali yang ketika itu berpangkat Inspektor Polis Pegawai Penyiasat Trafik di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian telah menerima wang RM500 melalui akaun bank daripada seorang pengarah syarikat.

Suapan itu sebagai dorongan terhadap kerja-kerja rasmi tertuduh yang melibatkan penguatkuasaan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 ke atas lori-lori milik syarikat berkenaan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan antara Februari hingga November 2016 di Ambank cawangan Bagan Serai dalam daerah Kerian.

Dia didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda, atau dengan kedua-duanya sekali.

Selain itu, dalam prosiding sama, mahkamah turut memutuskan 27 lagi pertuduhan menerima suapan sebagai ‘Take Into Consideration’ (TIC) di bawah Seksyen 171A Kanun Tatacara Jenayah.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Noor Azura Zulkiflee dan Afiqa Liyana Rozman, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

pesara bekas polis inspektor rasuah terima rasuah 10 pertuduhan rasuah pesara bekas polis inspektor rasuah terima rasuah 10 pertuduhan rasuah
Seorang bekas inspektor polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian, Sazali Shahrian, 61, dijatuhkan hukuman denda di Mahkamah Sesyen Ipoh, selepas mengaku bersalah atas 10 pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM5,000 daripada seorang pengarah syarikat pada lapan tahun lalu. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 07 MAC 2024.

Terdahulu, dalam rayuan, tertuduh mengakui akan kesalahan yang dilakukan dan menyesali atas perbuatan berkenaan.

Tertuduh memberitahu, disebabkan kesalahan itu, sehingga kini dia masih belum menerima sebarang ganjaran dan pencen sebagai penjawat awam sedangkan dia memerlukan wang untuk membiayai rawatan dialisis isterinya.

“Pendapatan saya hanyalah mengambil tempahan nasi beriani untuk diinfaqkan ke masjid-masjid.

“Jadi saya mohon hukuman ringan kerana kini saya perlu menjaga isteri seumur hidup,” ujarnya.

Hakim Ibrahim kemudian memberitahu, hukuman yang diputuskan itu selepas mengambil kira perkhidmatan tertuduh selama 40 tahun dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta keseriusan kesalahan yang dilakukan. – MalaysiaGazette