KUALA LUMPUR – Tentera Darat Malaysia (TDM) mengesahkan menerima laporan berhubung dakwaan salah guna kuasa dan menggunakan kekerasan oleh salah seorang pegawai kanannya yang kini bertugas di Sarawak.
Markas TDM dalam kenyataannya berkata, mangsa yang telah membuat laporan polis pada 3 Mac lalu mendakwa telah ditampar di bahagian kiri muka dan ditendang di bahagian perut oleh pegawai kanan berkenaan sehingga menyebabkan dia mengalami kecederaan pada tisu lembut di atas mata dan kecederaan disebabkan serangan fizikal.
Kejadian berlaku semasa pegawai berkenaan sedang menjalani latihan peringkat formasi.
Kenyataan Markas TDM berkata, pihaknya akan menubuhkan lembaga siasatan peringkat dalaman untuk mengenal pasti punca kejadian bagi menilai secara profesional dan terperinci berhubung dakwaan tersebut.
“Pihak TDM akan mengambil tindakan sewajarnya mengikut peraturan dan arahan tentera darat sedia ada sekiranya terbukti terdapat salah laku dan guna kuasa seperti yang di dakwa,” katanya.
Pegawai kanan berkenaan telah dilepaskan tugas pemerintahan bagi membolehkan TDM melaksanakan siasatan secara telus dan menyeluruh.
Dalam pada itu, Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan memandang serius dakwaan tersebut dan tidak akan berkompromi terhadap pelaku jika terbukti bersalah tanpa mengira pangkat dan jawatan.
“TDM berharap agar semua pihak tidak menularkan laporan berkenaan dan tidak meninggalkan sebarang komen negatif yang boleh mengganggu proses siasatan sehingga selesai dilaksanakan,” katanya. – MalaysiaGazette