Ahmad Maslan (tengah) melihat pelan projek menaik taraf dan pemuliharaan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang yang dijangka siap Julai ini.

GEORGE TOWN – Kementerian Kerja Raya (KKR) mengenal pasti 16 projek sakit di bawah seliaan kementerian berkenaan yang kebanyakan berpunca daripada masalah kewangan kontraktor.

Bagaimanapun, Timbalan Menterinya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, jumlah projek sakit itu hanya 2.14 peratus daripada 746 jumlah keseluruhan projek dalam pembinaan.

Jelas beliau, secara purata setiap negeri mempunyai antara satu dan dua projek sakit iaitu mengalami kelewatan melebihi dua bulan atau 20 peratus berbanding jadual pelaksanaan.

Ahmad Maslan.

“Masalah kewangan kontraktor antara punca utama kebanyakan projek sakit dan diikuti dengan isu Covid-19, pelantikan sub kontraktor serta kekurangan bahan berkaitan pembinaan.

“Kita juga ingin maklumkan pembinaan oleh pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) tidak tertumpu pada bangunan sahaja ia turut membabitkan pembinaan jambatan, lebuhraya, jalan serta cerun.

“Projek sakit ini selalu di highlight macam majoriti JKR lakukan projek sakit walhal mengikut statistik pada bulan lepas jumlah peratus projek sakit adalah 2.88 peratus berbanding kini 2.14 peratus,” katanya hari ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau projek menaik taraf dan pemuliharaan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang berusia 119 tahun yang menelan kos RM17.9 juta secara keseluruhan.

Projek menaik taraf dan pemuliharaan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang menelan kos RM17.9 juta.

Kerja-kerja menaik taraf bangunan warisan dua tingkat itu telah bermula Disember 2021 dijangka siap sepenuhnya Julai ini.

Mengulas lanjut Ahmad berkata, JKR mempunyai 2,100 projek dalam perancangan membabitkan Kementerian Kesihatan (KKM), Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kementerian Pertahanan.

“Kita di JKR ini melaksanakan projek-projek kementerian lain sebab itu beribu projek dalam perancangan.

“Pada masa sama, kerajaan sentiasa komited dalam memastikan projek pembangunan kerajaan dapat disiapkan mengikut jadual, supaya rakyat mendapat manfaat mengikut tempoh masa yang ditetapkan,” katanya. – MalaysiaGazette