Pemain Terengganu FC, Tchetche Kipre (atas) diasak penjaga gol Petaling Jaya FC, Mohd Muhaimin Mohamad (bawah) pada perlawanan Liga Super Malaysia 2019 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 27 APRIL 2019

KUALA LUMPUR – Penyerang import, Tchetche Kipre melaungkan keyakinan Kuching City FC mampu memberikan saingan terbaik dalam musim baharu Liga Malaysia 2024-2025.

Pemain kelahiran Ivory Coast itu mengakui tidak mudah untuk mengalas harapan yang diberikan kepadanya namun dia berharap dapat memberikan impak dalam misi pasukan mendapat kedudukan lebih baik berbanding musim lalu di mana Kuching City menamatkan saingan Liga Super di tangga ke-13.

Jelasnya, skuad Kuching City kendalian Aidil Sharin Sahak pada kali ini nampak lebih bersedia apabila berjaya menyambar beberapa pemain baharu bagi menguatkan pasukan.

“Skuad ini sudah bertambah baik, terdapat beberapa pemain baharu dan semestinya kehadiran kami untuk menyumbang lebih banyak kepada pasukan ini.”

“Saya tahu ini tidak akan menjadi suatu perkara yang mudah, dan di dalam bola sepak tidak akan ada janji. Namun kami akan mencuba,” katanya yang beraksi dengan KL City musim lalu.

Kipre turut mengakui hubungan baiknya bersama Aidil Sharin menjadi faktor mengapa dia tidak berfikir panjang untuk menyertai skuad The Cats yang muncul naib juara Challenge Cup musim lalu selepas tewas di final kepada PDRM FC.

“Saya sangat senang dapat berkerja dengan beliau lagi, kerana saya tahu cara beliau bekerja, taktikalnya sewaktu bersama Kedah dan saya mengharapkan semuanya berjalan dengan baik untuk musim hadapan,” katanya.

Kipre juga mengakui amat gembira untuk berada dan bermain di negara ini lagi setelah menyaksikan cara permainanan dan perkembangan setiap kelab di negara ini semakin berkembang.

“Setelah hampir lapan musim di Malaysia, pertandingan dan teknik setiap pemain dalam negara ini berkembang setiap hari sejak hari pertama saya bermain di sini,” tambahnya.

Beliau pernah beraksi dengan pasukan Kedah FC sebelum ini juga berharap semua penyokong Kuching City dapat bersama-sama hadir ke stadium pada musim akan datang dan memberikan sokongan kepada kelab ini. – MalaysiaGazette