RAUB – Sebahagian laluan Seksyen 5A: Lingkaran Tengah Utama (LTU) Raub ByPass sejauh 6.4 km dibuka kepada pengguna bermula pukul 12.01 tengah malam ini.
Ia dijangka dapat menjimatkan masa 30 minit daripada perjalanan asal selama dua jam.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, selain menjimatkan masa, pengguna juga dapat mengurangkan penggunaan bahan api serta membantu mengurangkan kesesakan jalan raya .
“Ini kerana pengguna yang berulang alik ke Pantai Timur boleh menggunakan jalan pintas ini dan tidak perlu lagi melalui Bandar Bentong dan Bandar Raub terutama ketika waktu puncak, musim perayaan dan cuti umum.
“Manakala laluan sepanjang 2.6 km dijadualkan akan disiapkan pada Jun 2024 di mana kerja-kerja pembinaan Seksyen 5A ini bermula pada 13 Jun 2019 lalu.
“Pembukaan jajaran ini akan memberi manfaat kepada pengguna jalan raya dengan memendekkan masa perjalanan dari Lebuhraya Pantai Timur ke Kuala Lipis, tanpa perlu melalui bandar Bentong dan Raub dengan jarak perjalanan sepanjang 45.3 km,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas majlis perasmian Seksyen 5A: Lingkaran Tengah Utama (LTU) Raub ByPass hari ini bersama Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Projek LTU merupakan sebuah projek KKR membina jalan baharu dan menaiktaraf jalan sedia ada kepada 4 lorong dua hala sepanjang hampir 299.4 km dari Kuala Krai, Kelantan ke Persimpangan Lebuhraya Pantai Timur (LPT), Bentong, bernilai RM7.3 bilion dijadualkan siap pada 2026.
Beliau berkata, laluan Seksyen 5A: Raub ByPass ini membabitkan 9.6 km keseluruhannya dan dengan pembukaan 6.4 km pada hari ini termasuk 600 meter yang telah dibuka pada 25 Jun 2023 lalu, menjadikan jumlah jajaran yang telah dibuka kepada rakyat sepanjang 7 km sehingga kini.
Sementara itu, Alexander memberitahu, kerajaan persekutuan komited menyambung projek LTU melalui Simpang Pelangai- Kuala Pilah melalui peruntukan pembangunan Rolling Plan pada 2024 selari dengan matlamat meningkatkan kecekapan perhubungan rangkaian jalan raya di negara ini. – MalaysiaGazette