Wan Rosdy Wan (kiri) bersama Alexander Nanta Linggi

RAUB – Pemansuhan tol di Gombak dan Karak dilihat hanya akan membebankan kerajaan daripada segi melakukan kerja-kerja penyelenggaraan.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, kementerian belum berhasrat untuk memansuhkan tol bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas terutama di Lebuh Raya Pantai Timur (LPT).

Sebaliknya beliau berharap rakyat memahami tanggunggan yang dihadapi Kementerian Kerja Raya (KKR) mendapatkan kewangan bagi kos pembaikan jalan di seluruh negara.

“Saya harap semua pengguna jalan raya  faham sekiranya  tol ini dimansuhkan akan membebankan kerajaan untuk mendapatkan sumber kewangan.

“Ini kerana kita perlu pastikan standard jalan yang  sepatutnya dibuat dan tidak kurang pentingnya untuk kita pastikan keselamatan pengguna jalan raya.

“Andai kata kita kurang dana nanti risau kita tidak dapat menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan dengan sempurna dan baik,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Perasmian Pembukaan Sebahagian Seksyen 5A Lingkaran Tengah Utama (LTU) Raub ByPass sepanjang 6.4 kilometer yang turut disempurnakan oleh Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dekat sini hari ini.

Terdahulu pada Isnin lalu, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man (PN-Kubang Kerian) menggesa kerajaan memansuhkan sekurang-kurangnya dua tol masing-masing di Gombak dan Karak ketika sesi perbahasan Titah Diraja di Dewan Rakyat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Cheka) itu juga berkata, usaha mengurangkan kesesakan lalu lintas bagi pengguna LPT dengan mengambil kira kewujudan empat tol yang terpaksa dilalui pengguna LPT menuju Pantai Timur iaitu Gombak, Bentong dan Karak serta di laluan keluar menyebabkan kesesakan yang melampau.

Sementara itu, Alexander menerusi KKR untuk memaklumkan kepada pihak konsesi supaya tidak melakukan kerja-kerja penyelenggaraan pada waktu puncak dan musim perayaan.

Langkah berkenaan sebagai mengurangi kesesakan di laluan berkenaan sememangnya sesak pada waktu berkenaan dengan mencari masa yang sesuai. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast