Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Seorang pemandu lori yang ditahan selepas disyaki menyebabkan kematian terhadap kekasih warga asing dengan menolak jatuh mangsa dari Tingkat 23 kondominium di Shah Alam pada 28 Februari lalu akan didakwa di mahkamah esok.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, suspek seorang warga tempatan berusia 37 tahun itu akan menghadapi pendakwaan kerana membunuh teman wanitanya yang merupakan warga Thailand.

“Semalam suspek telah disambung reman dua hari sehingga 8 Mac ini selepas tempoh reman seminggu sejak 29 Februari lalu tamat 6 Mac ini.

“Kertas siasatan lengkap ke atas suspek telah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya dan polis menerima arahan untuk mendakwa suspek.

“Suspek akan dibawa untuk menghadapi pertuduhan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh di Mahkamah Majistret Shah Alam pada pagi esok(Jumaat),” katanya selepas dihubungi hari ini.

Terdahulu dalam kejadian 10 malam itu, polis menerima laporan berkaitan insiden wanita berusia 32 tahun warga Thailand diayaki ditolak dari tingkat 23 oleh teman lelakinya di kondominium tersebut.

Kata Mohd Iqbal, hasil siasatan pihak polis di lokasi mendapati si mati tidak bekerja serta  suspek dan mangsa adalah pasangan kekasih didalam kes yang sama.

“Menurut saksi semasa kejadian terdengar pergaduhan antara si mati dan suspek serta nampak simati ditolak daripada tingkat 23 dan jatuh ke tingkat 7 di kondominium tersebut.

“Pada hari sama iaitu beberapa minit selepas kejadian polis berjaya membuat tangkapan ke atas suspek seorang lelaki tempatan iaitu teman lelaki mangsa

“Suspek merupakan seorang lelaki India berumur 37 tahun yang bekerja sebagai pemandu lori dan mempunyai tujuh rekod jenayah dan satu rekod lampau kesalahan dadah.

“Hasil ujian saringan air kencing juga mendapati suspek dikesan positif dadah jenis kanabis,” ujarnya. – MalaysiaGazette