PUTRAJAYA – Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini secara dasar bersetuju agar Kementerian Komunikasi meneliti dan menambah baik Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 bagi memenuhi keperluan perkembangan digital semasa.
Menteri Komunikasi yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil berkata, dengan keputusan itu, kementeriannya akan menganjurkan siri libat urus dengan pihak industri dan pihak berkepentingan bagi mendapat input bagi memperkemaskan aspek dalam akta itu.
“Ini kesinambungan kepada dasar yang diputuskan sekitar Ogos 2022 sebelum pembubaran Parlimen.
‘Hari ini, Kabinet bersetuju secara dasarnya kementerian ini boleh meneliti akta terbabit untuk dilihat aspek yang perlu ditambah baik, diperbetul dan diperkemas.
“Contohnya isu membabitkan Seksyen 233. Ramai Ahli Parlimen mempunyai pandangan tegas tetapi pada masa sama berpandangan adakah akta ini cukup kuat atau sebaliknya,” katanya pada sidang media Mingguan Kabinet di kementeriannya, di sini.
Seksyen itu antara lain berkaitan penggunaan tidak wajar media sosial, seperti memuat-naik kandungan lucah, kandungan menyakitkan, mengugut mengganggu orang lain.
Sebelum ini, Fahmi dilaporkan berkata, kerajaan sedang meneliti untuk meminda Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 bagi memenuhi keperluan perkembangan digital semasa.
Beliau menjelaskan, keputusan itu dibuat susulan mengambil kira perubahan teknologi maklumat, selain ia tidak dikemas kini sejak sekian lama. – MalaysiaGazette