Kok Chin (tengah) bercakap pada sidang media di IPK Pulau Pinang hari ini.

GEORGE TOWN – Polis berjaya menyelamatkan pemilik sebuah restoran masakan Thai yang diculik sekumpulan lelaki dalam kejadian di Cangkat Bukit Gambir di sini, semalam.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman yang juga Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Kaw Kok Chin berkata, terdahulu pihaknya menerima laporan daripada wanita warga China yang mendakwa suaminya warga negara sama dilarikan sekumpulan lelaki di rumah mereka pada jam 6 petang.

Jelas beliau, susulan itu, satu pasukan khas ditubuhkan dengan keanggotaan dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang.

“Bertindak atas maklumat dan risikan mangsa berusia 30an itu berjaya diselamatkan tanpa sebarang kecederaan.

“Kemudian kita berjaya memberkas empat suspek berusia 32 hingga 40 tahun yang terdiri daripada tiga warga China manakala seorang rakyat tempatan.

“Siasatan lanjut mendapati suspek telah menerima wang tebusan berjumlah RM277,886 bagi membebaskan mangsa dan wang tersebut turut berjaya dirampas,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang hari ini.

Tambah Kok Chin, polis masih mengesan tiga lagi suspek warga China yang dipercayai terbabit dengan kes berkenaan.

“Motif kejadian masih lagi dalam siasatan samada ia berkaitan dengan masalah peribadi, hutang atau melarikan dengan niat untuk mendapatkan wang tebusan.

“Kesemua suspek direman selama empat hari bermula hari ini dan siasatan dijalankan mengikut 365 Kanun Keseksaan kerana menculik,” katanya. – MalaysiaGazette