Seorang pemandu yang dipercayai menolak kekasihnya dari tingkat 23 sebuah kondominium di Setia Alam dibawa oleh anggota polis bagi didakwa atas pertuduhan membunuh ketika di Mahkamah Majistret Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 08 MAC 2024.

SHAH ALAM – Seorang pemandu lori berdepan pertuduhan membunuh kekasihnya di Mahkamah Majistret selepas menolak wanita itu dari tingkat 23, sebuah kondominium di sini pada 28 Februari lalu.

Tertuduh, Nathan Vijayakumar, 36, bagaimanapun hanya mengangguk tanda faham dan tiada pengakuan direkodkan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Sasha Diana Sabtu.

Mengikut pertuduhan, tertuduh pada 28 Februari 2024 kira-kira jam 10.02 malam bertempat di B-23-03 Trefoil Setia City, Jalan Setia Dagang AH U13/AH Setia Alam, Seksyen U13, Shah Alam telah melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian Mawika Lumyai.

Tertuduh berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang 30 tahun tetapi tidak melebihi 40 tahun dan jika tidak dihukum mati, disebat tidak kurang dari 12 kali.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Farah Sofea Rorazman dan tertuduh diwakili peguam, T P Aravind.

Majistret kemudiannya menetap 7 Jun ini sebagai tarikh sebutan kes untuk laporan forensik, laporan kimia dan memanggil beberapa saksi.

Sebelum ini, media melaporkan penghuni kondominium itu, semasa kejadian mereka terdengar pergaduhan antara mangsa dan suspek sebelum mendakwa melihat wanita itu ditolak dari tingkat 23 dan jatuh ke tingkat tujuh.

Ujian air kencing yang dijalankan ke atas suspek mendapati dia positif kanabis.

Menurutnya, hasil semakan juga mendapati pemandu lori itu mempunyai tujuh rekod jenayah dan satu rekod dadah. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast