KUALA LUMPUR – Universiti Putra Malaysia (UPM) bakal menawarkan program pengajian luar pesisir sebagai usaha memperkasa pengantarabangsaan dan keterlihatan UPM di peringkat global.
Menurut Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. Ismi Arif Ismail berkata, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) UPM akan berkolaborasi dengan Al-Farahidi University, Iraq bagi penawaran program Doktor Perubatan secara luar pesisir.
Program itu akan dimulakan sebaik sahaja persetujuan kerjasama akademik dimeterai antara dua institusi.
“Model penawaran program akademik di luar negara yang juga disebut sebagai Pendidikan Rentas Sempadan atau TransNational Education (TNE) ini amat popular.
“Di mana program akademik milik satu-satu institusi dijalankan di negara yang berbeza oleh rakan kolaborasi” katanya dalam satu hantaran di Facebook UPM.
Ismi Arif menambah, kerjasama yang bakal terjalin antara UPM dengan Al-Farahidi University, Iraq akan menggalakkan pertumbuhan dan pembangunan pendidikan yang inklusif lagi terjangkau bagi pelajar di negara Iraq dan wilayah Arab.
Sementara itu, turut hadir pada perbincangan antara FPSK UPM dan Al-Farahidi University, Iraq ialah Penasihat Strategik Kementerian Pendidikan Iraq (MOHESR), Prof. Talal Yusaf. – MalaysiaGazette