KOTA KINABALU – Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Datuk Seri Hajiji Noor menafikan kerajaan GRS dan Pakatan Harapan (PH) (GRS PH Plus) pimpinannya, gagal mentadbir dan membawa pembangunan untuk kesejahteraan rakyat negeri itu.
Hajiji yang juga Ketua Menteri Sabah berkata parti pembangkang khususnya Warisan, sepatutnya menilai pencapaian parti itu (Warisan) sendiri semasa mereka mengemudi kerajaan selama dua tahun setengah, sebelum membuat tuduhan kerajaan GRS PH Plus gagal.
Beliau berkata sekiranya kerajaan Warisan dipimpin Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sebagai ketua menteri ketika itu berjaya membawa pembangunan kepada Sabah, sudah tentu ia tidak ditolak oleh rakyat pada pilihan raya negeri lalu.
“Saya nampak di media sosial (Warisan) menuduh kerajaan GRS gagal, tapi saya yakin rakyat kita tahu keadaan dan mereka pandai menilai,” katanya.
Hajiji berkata dalam tempoh dua tahun selepas GRS mengambil alih kerajaan, bilangan kemasukan pelabur ke Sabah sudah berjaya memenuhkan Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sabah (SOGIP), manakala Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP), hampir penuh.
“Semua ini untuk rakyat, kita bawa pelabur wujudkan peluang kerja dan saya fokus untuk rakyat. Beribu kerja kita dapat wujudkan menerusi kemasukan pelabur. Ini kita buat, bukan jaja cerita politik.
“Sekarang lagi mahu dekat pilihan raya, semua hentam saya, macam mereka itu malaikat,” katanya menerusi kenyataan selepas merasmikan Karnival Mini Gagasan Rakyat di sini hari ini.
Hajiji juga mengakui banyak masalah seperti isu air yang perlu diatasi, namun menegaskan isu yang diwarisi daripada kerajaan lalu itu akan dapat diselesaikan, menerusi kesungguhan kerajaan negeri pimpinannya. – BERNAMA