Seramai 151 individu ditahan dalam operasi yang dilakukan dalam operasi khas yang dijalankan di daerah Kuantan malam tadi.

KUANTAN – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan 11 orang lelaki yang terbabit menjadi dalang dalam aktiviti persundalan selepas menyerbu 17 pusat hiburan di daerah ini awal pagi tadi.

Timbalan Ketua Pengarah Operasi JIM, Jafri Embok Taha berkata, mereka antara 151 orang yang ditahan dalam serbuan selepas menerima aduan orang ramai dan hasil risikan selama tiga minggu lalu.

Jafri Embok Taha

Dalam operasi khas bermula 11 malam berakhir awal pagi tadi, serbuan dilakukan ke empat buah premis pusat hiburan, sembilan buah premis kelab malam dan empat premis pelacuran.

“JIM menahan 103 orang wanita Thailand, dua orang wanita Laos, 11 orang wanita Vietnam, dua orang wanita Myanmar, dua wanita warganegara Indonesia, lima orang lelaki Myanmar, seorang lelaki Indonesia, 11 lelaki Bangladesh dan tiga lelaki China berusia antara 19 hingga 49 tahun.

“Manakala 11 lelaki warganegara Malaysia yang berperanan sebagai penjaga premis berusia antara 25 hingga 46 tahun turut ditahan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media di Pejabat Jabatan Imigresen Pahang di sini ini juga dihadiri Pengarah JIM Pahang, Muhammad Hatta Kassim.

Pegawai imigresen membuat pemeriksaan kesemua pasport yang dirampas dalam operasi malam tadi

Hasil semakan awal mendapati seramai 67 wanita Thailand, dua wanita Laos, 10 wanita Vietnam, dua wanita Myanmar, tiga orang wanita Indonesia dan 10 orang lelaki Bangladesh yang ditahan memiliki Pas Lawatan Sosial (PLS) dan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) yang masih sah laku.

“Sementara baki yang lain tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan atau pas yang sah untuk berada di negara ini.

“Pasukan operasi telah merampas sejumlah kondom, dokumen premis, rekod perniagaan, kunci premis, peralatan seks, 67 naskhah pasport Thailand, dua pasport Laos, 10 pasport Vietnam, dua naskah pasport Myanmar, tiga naskhah pasport Indonesia, 10 naskhah pasport Bangladesh,” katanya.

Selain itu, wang tunai sebanyak RM7880.00, 21 unit telefon bimbit, gel pelincir, gelang tips, tuala dan peralatan kamera litar tertutup turut dirampas ketika operasi itu.

Tambah Jafri, pihaknya akan terus berusaha melakuan operasi bagi memburu warga tempatan yang menjadi dalang di sebalik aktiviti haram berkenaan.

Jelasnya, modus operandi di pusat hiburan ini adalah dengan mempromosi wanita warganegara asing dengan menggunakan foto-foto mereka melalui aplikasi media sosial.

Wanita warganegara asing yang dipilih akan diuruskan oleh lelaki warganegara tempatan yang dipercayai sebagai penjaga premis sebelum pelanggan ke bilik yang disediakan.

Bayaran yang dikenakan ke atas pelanggan di premis antara RM300 hingga RM400 bergantung kepada pakej yang ditawarkan.

Transaksi bayaran yang digunakan bagi  secara dalam talian atau tunai sebelum wanita warganegara asing tersebut diserahkan kepada pelanggan.

Selain itu, modus operandi yang digunakan di premis pelacuran adalah pelanggan akan hadir sendiri ke premis dan memilih wanita warganegara asing berdasarkan katalog yang diberikan.

“Setelah pelanggan membuat pilihan wanita yang ingin dilanggani, pelanggan akan dibawa ke bilik khas yang disediakan. Bayaran secara tunai kepada penjaga premis semasa pelanggan mula untuk memasuki bilik.

“Kadar bayaran yang dikenakan antara RM250 hingga RM350 bagi satu jam,” ujar Jafri.

Semasa serbuan dilakukan, terdapat bilik-bilik rahsia di dalam premis yang dipercayai sebagai lokasi persembunyian warganegara asing apabila diserbu oleh pihak berkuasa.

Operasi khas itu melibatkan sepasukan pegawai dan anggota pelbagai pangkat dari Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya dengan kerjasama JIM Negeri Pahang. Operasi ini turut disertai oleh Pasukan Taktikal Khas (PASTAK), JIM Negeri Perlis, JIM Negeri Perak dan JIM Negeri Sembilan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast