PETALING JAYA – Kerajaan akan membentangkan pindaan perkataan ‘bapa’ dalam Seksyen 1(b) dan 1(c) Perlembagaan Persekutuan di Parlimen, bulan ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yakin pindaan Perlembagaan Persekutuan berkaitan hak kewarganegaraan anak yang dilahirkan di luar negara hasil perkahwinan wanita rakyat tempatan dengan lelaki warga asing akan dapat diluluskan di Dewan Rakyat.
“Kalau masih tidak boleh terima kenyataan dan perubahan ini, saya fikir (mereka) tidak layak menjadi Ahli Parlimen,” katanya dalam ucapan sempena Sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2024.
Anwar berkata, perkataan ‘bapa’ dalam Seksyen 1(b) Bahagian II Jadual Kedua Perlembagaan Persekutuan sebelum ini agak pelik.
Justeru itu, kerajaan ingin membuat pindaan dengan memasukkan perkataan ‘ibubapa, ibu atau bapa’ kepada pindaan berkenaan.
“Sukacita saya maklumkan bahawa istilah bapa yang iktiraf dalam perlembagaan itu hak anak-anak menjadi warganegara akan digantikan kepada ibu bapa atau ibu atau bapa.
“Saya bersyukur Alhamdulillah dalam puluh tahun perkara yang dibangkitkan, kerajaan Madani di bawah Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri, kita dapat buat lakukan pindaan yang sangat bererti.
“Kita akan buat pindaan pada bulan ini di Parlimen,” katanya.
Terdahulu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, Kabinet meluluskan cadangan pindaan Perlembagaan Persekutuan berkaitan hak warganegara untuk anak dilahirkan di luar negara oleh ibu rakyat Malaysia berkahwin dengan warga asing.
Saifuddin Nasution yang membentangkan cadangan itu berkata, selepas ini pihaknya akan mengadakan sesi libat urus dengan pelbagai pihak antaranya pakar dalam aspek tertentu, masyarakat dan Ahli Parlimen. – MalaysiaGazette