Foto Facebook KDA FC.

KUALA LUMPUR – Kelab Kedah Darul Aman (KDA) FC mengumumkan kaptennya, Manuel Ott meninggalkan pasukan Sang Kenari itu bagi membawa haluan berbeza musim hadapan.

Kelab itu dalam satu kenyataan berkata, keputusan itu dibuat selepas beberapa perbincangan dan pertimbangan bersama antara pengurusan kelab dan Ott dalam suasana emosi bercampur-baur.

“Kami mengumumkan persetujuan bersama mengenai pemergian Manuel Ott dari KDA FC.

“Sepanjang musim ini, Manuel Ott telah mempamerkan dedikasi yang tinggi dan komitmen yang tidak berbelah bahagi terhadap prestasi KDA FC.

“Persembahan luar biasa beliau di atas padang telah meninggalkan kesan yang besar di hati peminat, dan sumbangan beliau kepada keputusan perlawanan pasukan akan sentiasa diingati dengan penuh memori sebagai empat pasukan terbaik liga musim ini,” kata kelab itu di Facebook miliknya.

KDA menambah, seperti mana-mana perjalanan pemain bola sepak, peralihan adalah sebahagian dalam kerjaya seorang pemain.

Justeru, keputusan ini telah dicapai dengan cara yang baik dan kelab itu menghormati permintaan Ott.

“KDA FC mengambil peluang ini untuk merakamkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada beliau atas khidmatnya yang luar biasa kepada kelab.

“Semangat, kerja berpasukan, dan kepimpinannya di dalam dan di luar padang telah memberi inspirasi kepada ramai pemain muda dan peminat.

“Kenangan yang dicipta bersama akan dikenang selama-lamanya, dan kami akan sentiasa mengalu-alukan Manuel Ott dengan tangan terbuka setiap kali beliau kembali melawat KDA FC,” katanya. – MalaysiaGazette