KUALA LUMPUR – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menganggap bahawa enam Ahli Parlimennya dan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) sudah ‘mati’.
Justeru itu, Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Razali Idris berkata, parti itu tidak perlu memberikan undangan kepada mereka bagi menghadiri Konvensyen Wakil Rakyat Perikatan Nasional (PN) yang berlangsung hari ini.
“Kita sudah anggap wakil rakyat di tujuh kerusi itu sudah mati kita nak tunggu tarikh pilihan raya sahaja.
“Mereka tali barut dijemput buat apa,” katanya menjawab pertanyaan media mengenai ketidakhadiran kesemua mereka di sini hari ini.
PN hari ini mengadakan konvensyen sehari di Hotel Sumway Putra dimulakan dengan ucapan daripada Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Konvensyen diteruskan dengan acara tertutup dan meminta agar para pengamal media keluar daripada dewan.
Sebelum ini, enam ahli Parlimen Bersatu termasuk seorang lagi Adunya bertindak menyatakan sokongan kepada parti seteru.
Ahli Parlimen berkenaan adalah Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang), Zahari Kechik (Jeli), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Suhaili Abdul Rahman (Labuan) dan Abdul Rashid Asari (Selat Klang) yang menyatakan sokongan kerajaan. – MalaysiaGazette